Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 22 Mac (Bernama) -- Terminal Feri Tanah Merah (TMFT) di Singapura yang telah dinaik taraf dijangka menyokong pertumbuhan perjalanan ke negeri Johor, Malaysia dan Kepulauan Riau, Indonesia dengan kemudahan baharu bagi meningkatkan pengalaman penumpang, menurut pengendalinya.
Ketua Eksekutif Singapore Cruise Centre (SCC) Jacqueline Tan berkata kerja naik taraf bernilai S$20 juta (S$1=RM3.30) itu kini siap sepenuhnya dan merangkumi kios daftar masuk layan diri serta lorong imigresen automatik, yang membolehkan penumpang mengurangkan masa pemprosesan, selain penambahan premis makanan dan minuman baharu.
“Sebelum ini, kesesakan berlaku di dua lokasi - di kaunter untuk membeli tiket atau mengambil pas pelepasan, serta di kaunter imigresen.
“Bergantung kepada musim, secara purata mengambil masa kira-kira 20 minit untuk masuk ke dewan pelepasan, tetapi kini hanya sekitar lima minit,” katanya pada taklimat media selepas majlis perasmian TMFT yang dinaik taraf oleh Menteri Negara bagi Pengangkutan dan Undang-Undang, Murali Pillai, pada Sabtu.
Inisiatif pelepasan tanpa pasport oleh Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA), yang diperkenalkan di terminal selepas kerja naik taraf, membolehkan penduduk Singapura yang tiba dan berlepas, serta semua pelancong asing yang berlepas, melalui pemeriksaan imigresen menggunakan biometrik wajah dan iris.
Sementara itu, Tan berkata kios daftar masuk layan diri sedang diperkenalkan secara berperingkat, dengan semua pengendali feri dijangka menyertai sistem itu menjelang Jun.
Pada masa ini, empat pengendali feri beroperasi di TMFT, menyediakan perkhidmatan feri ke dan dari dua lokasi di Johor (Tanjung Pengelih dan Desaru Coast) serta empat lokasi di Kepulauan Riau (Bandar Bentan Telani, Batam Centre, Nongsapura, dan Tanjung Pinang).
Tan berkata terminal itu juga bersedia menyokong peningkatan jumlah pengendali dan perkhidmatan sekiranya terdapat permintaan susulan pelaksanaan penuh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ).
“Kini terdapat perkhidmatan feri ke dua kawasan dalam JSSEZ, tetapi majoriti penumpang adalah pelancong. Mungkin mengambil masa bertahun-tahun sebelum kita melihat kesan penuh JSSEZ, namun terminal ini sudah bersedia untuk menampung keperluan tersebut jika ia timbul,” katanya.
Tan berkata SCC menjangkakan pertumbuhan jumlah penumpang sebanyak lima peratus tahun ke tahun, disokong oleh pembangunan hotel dan tarikan baharu di Kepulauan Riau serta kemunculan semula pasaran China, yang sebelum Covid menyumbang 20 hingga 25 peratus daripada jumlah trafik.
Selepas naik taraf, TMFT telah meningkatkan kapasiti terminal sebanyak 20 peratus kepada lebih tiga juta penumpang. Pada kemuncaknya semasa pra-Covid, terminal itu mengendalikan sehingga 2.4 juta penumpang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial