AM > BERITA

Datuk Rayu Sumbangan Untuk Bantu Rawatan Cucu Hidap Kanser Tahap Empat

22/03/2025 04:38 PM

Oleh Habsah Ismail

KOTA BHARU, 22 Mac (Bernama) -- Seorang warga emas merayu ihsan orang ramai untuk menghulur bantuan bagi menampung kos rawatan cucunya yang disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat.

Mohd Nor Husain, 65, berkata cucunya Muhammad Shakil Mohd Shahrizal yang baru berusia dua tahun disahkan menghidap kanser beberapa minggu lepas, dan memerlukan RM230,000 hingga RM250,000 bagi kos rawatan dan ubat-ubatan.

"Dua bulan lepas Muhammad Shakil mula mengalami benjolan pada beberapa bahagian tubuhnya. Kami mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM UKM) Universiti Kebangsaan Malaysia dan ketika itu doktor mengesyaki leukemia.

"Selepas seminggu di HCTM UKM, kami menghabiskan RM8,000 untuk rawatan, namun selepas pulang ke rumah, dia mengadu sakit, kakinya membengkak, dan benjolan muncul di paha serta leher. Kami kemudian merujuknya ke sebuah hospital swasta di Negeri Sembilan, dan dia disyaki menghidap kanser kelenjar," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Nor berkata selepas mendapatkan nasihat doktor, mereka membawa Muhammad Shakil ke Hospital Kuala Lumpur dan hasil pemeriksaan mengesahkan dia menghidap kanser neuroblastoma tahap empat yang memerlukan kos rawatan tinggi untuk pembedahan serta kelengkapan lain.

Beliau berkata sumbangan diperlukan bagi menampung rawatan termasuk kemoterapi, pembedahan utama untuk membuang ketumbuhan dalam perut, pemindahan sum-sum tulang, radioterapi, isoterapi serta pembelian ubat import (Qarziba).

Beliau yang merupakan seorang pesara syarikat swasta berkata cucu sulungnya itu dijaga sejak kecil bersama isterinya, Fuziah Salleh, 58.

Ibu Muhammad Shakil, Amira Ilyana Mohd Nor, 29, terpaksa berhenti kerja sebagai akauntan untuk memberi tumpuan kepada penjagaan anaknya, manakala suaminya Mohd Shahrizal Jamaluddin, 27, bekerja di sebuah kilang di Sendayan, Negeri Sembilan.

Orang ramai ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7633182746 atas nama Amira Ilyana Binti Mohd Nor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan