AM > BERITA

RM1.6 Juta Untuk Skim Bantuan Makanan Berbungkus Di Labuan

22/03/2025 08:41 PM

LABUAN, 22 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM1.6 juta bagi pelaksanaan skim bantuan makanan berbungkus untuk golongan asnaf di pulau bebas cukai ini.

Pengurus MAIWP Labuan Md Fadzli Md Saad berkata skim tahunan itu melibatkan penyediaan 144,000 bungkus makanan sepanjang tahun dengan agihan 600 pek sehari selama 20 hari setiap bulan.

"Agihan makanan ini dilaksanakan oleh pengendali trak makanan yang dilantik dan ia bertujuan memastikan golongan asnaf mendapat makanan yang mencukupi setiap hari," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar MAIWP bersama Asnaf di Desa Tunas Hijau malam ini.

Majlis tersebut turut meraikan 720 asnaf bersama keluarga mereka.

Md Fadzli memaklumkan bahawa semua penerima bantuan terdiri daripada mereka yang berdaftar sebagai penerima Bantuan Sara Hidup MAIWP merangkumi pelbagai kategori seperti ibu tunggal, warga emas dan asnaf yang mempunyai ramai tanggungan.

Dalam majlis itu juga, seramai 240 ketua keluarga asnaf menerima sumbangan bakul makanan dengan kos keseluruhan RM36,000 manakala 100 anak-anak asnaf menerima sumbangan duit raya sebanyak RM50 setiap seorang.

Selain itu, Surau Fath Al-Bari di Pusat Koreksional Labuan turut menerima sumbangan bernilai RM50,000 untuk pelaksanaan Program Pendidikan dan Kerohanian Prospek.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan