AM > BERITA

Ancaman Siber: Kementerian Pertahanan Teliti Keperluan Wujud Angkatan Siber Khusus

24/03/2025 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Dalam usaha mempercepat pemodenan ketenteraan bagi menghadapi ancaman tidak dijangka, Kementerian Pertahanan sedang meneliti keperluan mewujudkan angkatan siber khusus yang berkeupayaan menangani ancaman siber dan kempen maklumat salah.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata angkatan itu akan dilengkapi dengan kepakaran teknikal tinggi dalam bidang seperti Cyber Threat Intelligence, Incident Response, Digital Forensics serta Active Cyber Defence.

“Keupayaan ini membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja bertindak balas terhadap serangan siber tetapi juga menghalang dan meneutralkan ancaman sebelum ia memberi kesan terhadap operasi ketenteraan dan keselamatan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali yang ingin mengetahui adakah kerajaan mempertimbangkan untuk meningkatkan bajet pertahanan atau mempercepat pemodenan ketenteraan dalam menghadapi ancaman tidak dijangka.

Khaled berkata Kementerian Pertahanan melalui Kertas Putih Pertahanan telah menetapkan hala tuju bagi menjadikan ATM sebagai angkatan masa hadapan yang lebih bersepadu, tangkas dan berfokus menjelang 2030.

Beliau berkata ini termasuklah dalam menghadapi ancaman yang tidak dijangka iaitu ancaman keselamatan yang berlaku secara tiba-tiba dan sukar diramal, termasuk serangan siber, peperangan hibrid, serangan pengganas, penggunaan dron dalam peperangan, bencana alam dan konflik serantau.

“Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan Negara turut menyenaraikan bidang fokus yang kritikal untuk diteroka dan diberikan perhatian agar sektor pertahanan negara berupaya berhadapan dengan perkara seperti Cyber Warfare, Unmanned Warfare, Drone Warfare dan kimia, biologi, radiologi dan nuklear atau CBRN Warfare,” katanya.

Mohamed Khaled berkata pelaksanaan penggal kedua Kertas Putih Pertahanan, khususnya dalam konteks bajet dan perbelanjaan pertahanan, kementerian akan mencadangkan peruntukkan perbelanjaan pertahanan negara diunjurkan 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya. 

“Untuk maklumat, kita kini memperuntukkan kira-kira 1.1 peratus daripada KDNK negara untuk tujuan pertahanan. Cadangan meningkatkan perbelanjaan pertahanan ini seiring dengan pendekatan negara jiran yang memberi keutamaan tinggi kepada sektor pertahanan bagi melindungi kepentingan negara yang berdepan cabaran semakin kompleks pada masa kini dan masa hadapan.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap keselamatan dan kedaulatan negara, terutamanya dalam menghadapi ancaman yang semakin kompleks dan dinamik dan dalam hal ini, kerajaan sentiasa menimbangkan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan