AM > BERITA

AADK Adakan Sesi Lawatan Khas Keluarga Sempena Aidilfitri

24/03/2025 03:20 PM

PUTRAJAYA, 24 Mac (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan membuka sesi lawatan khas keluarga atau penjaga klien AADK yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri.

AADK dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi lawatan diadakan selama lima hari bermula 6 April di Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala bagi Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak bermula 7 April.

"Lawatan ini bertujuan merapatkan hubungan antara klien dengan keluarga atau penjaga, mendapatkan sokongan moral dan emosi selain keluarga atau penjaga boleh melihat sendiri perkembangan pemulihan klien program RPDI AADK," menurut kenyataan itu.

AADK berkata lawatan khas itu juga memberi ruang dan peluang kepada keluarga atau penjaga dan klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan terapeutik dalam menyokong pemulihan klien.

Bagi tujuan itu AADK meminta keluarga atau penjaga yang ingin menyertai sesi lawatan khas keluarga untuk menghubungi pegawai pemulihan di PUSPEN masing-masing menerusi panggilan telefon, sistem pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel kepada pegawai berkenaan.

Orang ramai juga boleh menghubungi PUSPEN bagi mendapatkan maklumat lanjut menerusi talian hotline AADK di 1-800-22-AADK (2235) atau melalui WhatsApp di 019-6262233.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan