AM > BERITA

Yayasan Sultan Ibrahim Johor Sumbang Peralatan Pembersihan Pasca Banjir

24/03/2025 03:52 PM

JOHOR BAHRU, 24 Mac (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) terus komited dalam membantu masyarakat yang terkesan akibat bencana banjir di Johor.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebooknya bertitah sebagai langkah sokongan terhadap usaha pembersihan pasca banjir, YSIJ tampil menyumbangkan pelbagai peralatan seperti penyembur air tekanan tinggi, penyapu dan plastik sampah kepada sekolah-sekolah yang terjejas.

Seri Paduka Baginda bertitah Pemegang Amanah Urusan YSIJ Datuk Avinderjit Singh hari ini menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Mohd Hanafi Samad dan Pegawai Pendidikan Islam Daerah Johor Bahru Samsuddin Mahdi.

“Sumbangan ini disalurkan untuk kegunaan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya dan Sekolah Agama (SA) Kampung Maju Jaya di sini,” menurut hantaran itu.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian turut menyampaikan bantuan kepada Mohd Hanafi dan Guru Penolong Kanan 1 Fauziah Ehwan, bagi kegunaan SK Kangkar Tebrau dan SA Kangkar Tebrau, Pasir Gudang yang merupakan sebahagian daripada 11 sekolah di Johor yang terkesan akibat banjir, sejak 19 Mac.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan