KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) melarang penjualan alat optik dan kanta lekap secara dalam talian demi melindungi kesihatan dan keselamatan penglihatan pengguna.
Ketua Eksekutif MDA Dr P. Muralitharan berkata alat optik dan kanta lekap dikawal di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) selain perlu memenuhi semua keperluan pendaftaran di bawah akta sama sebelum ia diimport dan dipasarkan.
Beliau berkata alat optik dan kanta lekap dikategorikan sebagai peranti perubatan yang perlu mendapat preskripsi dan disediakan serta diserahkan oleh optometris berdaftar sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 30, Akta Optik 1991 yang dikuatkuasakan Majlis Optik Malaysia.
“Bagi menyokong pelaksanaan larangan ini, MDA tidak mengeluarkan apa-apa kelulusan berkaitan iklan serta penjualan alat optik dan kanta lekap secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Muralitharan berkata mana-mana individu yang didapati menjalankan aktiviti itu tanpa kelulusan MDA adalah melanggar Peraturan-Peraturan Peranti Perubatan (Pengiklanan) 2019, Peraturan 2(1) dan boleh didenda tidak lebih RM200,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata MDA akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar peraturan itu termasuk tindakan undang-undang terhadap penyedia platform yang masih menjual alat optik dan kanta lekap secara tidak sah.
Dr Muralitharan berkata MDA juga menyeru kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti penjualan alat optik atau kanta lekap secara dalam talian kepada MDA melalui Sistem Pengurusan Maklum Balas MDA (FEMES) di https://femes.mda.gov.my/ atau e-mel ke mdb@mda.gov.my.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial