JOHOR BAHRU, 25 Mac (Bernama) -- Struktur tiang jambatan di Kampung Tenang, Ulu Tiram di sini patah, manakala jambatan Batu 20 Mukim Sungai Tiram yang berjarak kira-kira tujuh kilometer dari kampung berkenaan pula runtuh berikutan hujan lebat berterusan dan arus deras baru-baru ini.
Ketua Kampung Ulu Tiram Mukim Plentong Shazrul Idham Abd Aziz berkata jambatan Kampung Tenang iaitu satu-satunya laluan utama bagi 1,040 penduduk daripada 260 keluarga itu ditutup dan hanya boleh dilalui motosikal selepas dua tiangnya patah pada Jumaat lepas.
Beliau berkata kejadian itu telah dimaklumkan kepada Pegawai Daerah Johor Bahru Mohd Masni Wakiman dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta dibangkitkan dalam mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Jurutera JPS telah membuat pemantauan dan setakat ini kita sedang menunggu maklumat lanjut berkaitan tindakan susulan sama ada ia akan dibaik pulih atau diganti baharu.
“Sehingga kini penduduk hanya boleh keluar masuk kampung itu menggunakan motosikal. Jadi saya harap kerja pembaikan boleh dipercepatkan memandangkan Aidilfitri semakin hampir. Bagaimanapun kita maklum untuk proses membaik pulih ia akan mengambil masa,” katanya kepada Bernama.
Shazrul Idham berkata setakat ini tiada lokasi yang dilihat bersesuaian untuk pembinaan jambatan sementara dan jalan alternatif sedang dikenal pasti dengan kerjasama pemilik tanah di kawasan berhampiran.
Sementara itu, Ketua Kampung Felda Sungai Tiram Mohamad Misri berkata jambatan Batu 20 runtuh pada Ahad, sekali gus menyebabkan lebih daripada 1,000 penduduk Kampung Pasir, Kampung Dagang, Kampung Orang Asli Sungai Tiram dan Kampung Seri Perdana perlu menggunakan jalan alternatif melalui Kampung Sungai Redan.
“Setakat ini, hanya itu jalan alternatif yang boleh dilalui, walaupun jalan itu agak jauh dan ada sebahagiannya tidak berturap,” katanya.
Beliau berkata Pegawai Daerah Johor Bahru bersama Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan delegasi serta Jabatan Kerja Raya telah melawat lokasi kejadian, berkaitan perancangan membina jambatan sementara.
“Kesemua pihak berbincang dan bersetuju membina jambatan sementara sebelum perayaan Aidilfitri. Kerajaan negeri akan membina jambatan kekal selepas itu,” katanya sambil berharap usaha itu berjalan lancar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial