AM > BERITA

MINDEF Lancar Program JanaVeteran Bagi Tingkat Kesejahteraan Veteran ATM

25/03/2025 10:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (Mindef) hari ini melancarkan program JanaVeteran bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menceburi bidang pertanian menerusi program tanaman halia dan cili fertigasi serta usahawan tani veteran.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata inisiatif hasil kerjasama Boustead Plantations Berhad (BPlant) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) itu membuka peluang buat veteran ATM menjana pendapatan dalam bidang keusahawanan tani selain menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata menerusi program tanaman halia dan cili fertigasi, BPlant akan menyediakan plot fertigasi di atas tanah seluas 105 hektar untuk veteran ATM terpilih, dengan 80 hektar bagi penanaman halia dan baki 25 hektar untuk penanaman cili.

“Pada peringkat permulaan, program ini akan melibatkan 100 veteran ATM yang menguruskan penanaman halia dan cili dengan potensi pendapatan RM3,000 sebulan bagi setiap peserta,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Menteri Pertahanan bersama pengamal media di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus.

Mohamed Khaled berkata projek rintis bagi program itu akan dimulakan di Kota Tinggi, Johor, melibatkan 15 peserta di tanah seluas 12 hektar, dengan sasaran pengeluaran 3,500 tan metrik halia dan 350 tan metrik cili setahun dalam tempoh tiga tahun.

Bagi program usahawan tani veteran, beliau berkata ia akan memberikan peluang kepada pesara tentera untuk menjadi usahawan dalam bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman kontan yang tersenarai dalam program Keterjaminan Makanan Negara.

“Sebagai sebahagian daripada usaha ini, BPlant telah mengenal pasti 300 hektar tanah milik mereka di Semenanjung Malaysia untuk diusahakan dengan tanaman kontan,” katanya.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyempurnakan prapelancaran aplikasi PERWIRA Super App, sebuah aplikasi dibangunkan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) Network dengan kerjasama Mastercard International bertujuan mempercepat transformasi digital komuniti Kementerian Pertahanan, menggabungkan  kecerdasan buatan (AI) dengan ciri keselamatan canggih, cekap, selamat dan mesra pengguna.

Antara fungsi aplikasi itu ialah perkhidmatan kewangan, E-Marketplace, diskaun eksklusif dan ganjaran kesetiaan serta Hab e-Learning.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan