KOTA BHARU, 26 Mac (Bernama) -- Kelantan mengisytiharkan Ahad ini (30 Mac) sebagai Hari Kelepasan Am bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri.
Pengumuman berkenaan dibuat Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Beliau berkata cuti berkenaan bertujuan memberi kelonggaran kepada rakyat, khususnya perantau untuk pulang ke kampung lebih awal, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas sehari sebelum perayaan.
“Kerajaan negeri bersetuju memberikan cuti peristiwa pada Ahad ini sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Diharapkan cuti ini dapat memberi ruang kepada rakyat untuk merapatkan silaturahim bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga tetapi juga sahabat handai,” katanya.
Selain itu, kerajaan negeri turut mengumumkan pemberian bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam di negeri berkenaan.
“Sebanyak 9,000 penjawat awam di negeri ini akan menerima bantuan kewangan khas itu esok, melibatkan peruntukan RM5 juta,” katanya.
“Kita berharap semua anak perantau memandu dengan berhemah kerana kita tidak mahu berlaku sebarang tragedi yang boleh meragut nyawa,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Nassuruddin mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak-anak supaya tidak bermain mercun bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Jangan berikan wang kepada anak-anak untuk membeli mercun kerana permainan ini berbahaya. Setakat ini, sudah ada kes kecederaan serius akibat mercun,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial