AM > BERITA

Jadikan Aidilfitri Medium Erat Hubungan Antara Kaum - Sultan Mizan

31/03/2025 09:55 AM

KUALA TERENGGANU, 31 Mac (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya sambutan Aidilfitri dijadikan sebagai medium mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini.

Baginda dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri bertitah bahawa Aidilfitri bukanlah semata-mata hari kemenangan umat Islam, bahkan mampu menjadi jambatan perpaduan antara rakyat pelbagai bangsa dan agama di negara ini.

Justeru Sultan Mizan berharap agar semua rakyat meraikan kepelbagaian agama, bangsa dan kaum dengan cara mengekalkan toleransi serta sifat saling hormat-menghormati.

"Kepelbagaian bangsa dan agama yang terjalin di negara kita sedari dulu bukan sesuatu yang mudah untuk dibina atau untuk dileraikan.

"Beta ingin mengingatkan supaya setiap daripada kita sentiasa meraikan kepelbagaian ini. Pupuklah semangat itu dalam diri anak-anak agar kedamaian sebegini kekal pada masa-masa akan datang," titah baginda.

Selain itu Sultan Mizan turut menitahkan supaya rakyat Terengganu menyuburkan kembali amalan serta budaya kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi antara keluarga, saudara-mara, jiran dan sahabat handai termasuk yang berbeza agama dan budaya.

Harapan baginda agar Aidilfitri kali ini dapat disambut dalam suasana harmoni dan penuh kegembiraan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

"Namun dalam kita bersuka-ria janganlah lupa kepada golongan yang kurang berkemampuan. Ambillah peluang ini untuk membantu mengikut kemampuan kita agar memberi sinar buat mereka berjuang mengharungi kehidupan ini.

"Akhir kata beta dan Sultanah (Sultanah Nur Zahirah) serta keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di negeri Terengganu Darul Iman. Semoga segala amalan yang kita kerjakan di bulan Ramadan dan Syawal diterima Allah S.W.T," titah baginda.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan