AM > BERITA

Agong, Raja Permaisuri Berkenan Tunai Solat Sunat Aidilfitri Di Masjid Wilayah Persekutuan

31/03/2025 11:32 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.  

Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Turut hadir Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Selain itu, turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Solat sunat Aidilfitri berkenaan diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.

Ini kali pertama Sultan Ibrahim menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan selepas melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan tahun lepas.

Usai menunaikan ibadah berkenaan, Seri Paduka Baginda berdua turut mendengar khutbah bertajuk “Berdamai dalam Dakapan Syawal” yang disampaikan oleh Luqman.

Sultan Ibrahim turut bersalaman dengan jemaah yang sebelum berangkat pulang kira-kira 9 pagi.

Sementara itu, Luqman ketika menyampaikan khutbah menyeru umat Islam untuk memanfaatkan keberkatan Aidilfitri dalam memperbaiki hubungan persaudaraan antara hubungan kekeluargaan, masyarakat dan umat Islam.

Perayaan Aidilfitri perlu dijadikan medan untuk meneruskan nilai mulia dalam kehidupan seharian serta membudayakan sifat berlapang dada dan saling bermaafan.

"Realiti hari ini, memperlihatkan perpecahan dalam kalangan umat Islam akibat perbezaan fahaman, politik dan kepentingan peribadi. Sedarlah, perbalahan hanya melemahkan kita dan memberi peluang kepada musuh Islam untuk mengambil kesempatan.

“Syawal ini seharusnya menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh ukhuwah Islamiah dan mengerat hubungan mungkin sudah terputus,” katanya.

Dalam semangat Syawal, beliau juga menggesa umat Islam untuk mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam menangani perselisihan yang sentiasa mengutamakan dialog, berlapang dada dan bersikap pemaaf dalam menyelesaikan konflik.

“Inilah asas masyarakat MADANI yang berdiri atas sikap hormat dan ihsan, dilatih melalui tarbiyah Ramadan. Justeru, marilah kita semua menjernihkan hati untuk saling memaafkan, saling berdamai dan menjaga antara satu sama lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan