BANGI, 26 Mac (Bernama) -- Inovasi graf gantian ligamen krusiat anterior (ACL) dan posterior (PCL) yang dikenali Modified UKM Internal Brace (MUIB) menawarkan penyelesaian lebih efektif untuk membantu pesakit kembali aktif dalam sukan selepas pembedahan rekonstruksi ligamen.
Ketua Pegawai Eksekutif KL Orthosports Sdn Bhd (KL Orthosports) Prof Madya Datuk Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff berkata teknik inovatif yang digunakan sejak 2018 itu melibatkan penggunaan graf dengan pendakap dalaman iaitu berbeza dengan kaedah lain yang terdapat di pasaran.
“Sebenarnya, rawatan untuk pembedahan ACL (dalam negara) memang sudah ada. Cuma, kita membuat inovasi dari segi penyediaan graf gantian untuk ACL yang tercedera, sebab dalam (rawatan) ACL kalau ligamen koyak tidak boleh dijahit, perlu rekonstruksi.
“Kenapa MUIB? Sebab ramai pesakit kita adalah atlet dan ahli sukan yang aktif serta serius. Mereka menginginkan keadaan ligamen yang benar-benar normal selepas pembedahan kerana pesakit dengan kecederaan ACL biasanya bimbang tentang kemungkinan ligamen yang longgar selepas pembedahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Hak Pelesenan Daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi Penggunaan Inovasi Ortopedik MUIB di universiti berkenaan hari ini.
MUIB adalah inovasi syarikat pemula UKM iaitu KL Orthosports yang memperoleh hak pelesenan inovasi milik UKM, membolehkan ia dikomersial dan dimanfaatkan secara meluas.
Inovasi MUIB yang sedang melalui proses pempatenan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), adalah hasil kajian klinikal lebih tujuh tahun sejak 2018 oleh pasukan KL Orthosports.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak dalam ucapannya berkata pelesenan pengkomersialan MUIB ACL/PCL kepada KL Orthosports menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam misi universiti itu dan negara untuk menterjemah penyelidikan kepada manfaat ketara kepada masyarakat.
“Hari ini, UKM berada di ambang era baharu dalam penjagaan ortopedik. MUIB ACL/PCL mewakili suara harapan untuk ramai pesakit yang mengalami kecederaan ligamen, menawarkan mereka peluang untuk pemulihan yang lebih cepat dan berkesan. Ia adalah simbol komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan manusia melalui inovasi dan kerjasama,” katanya.
Pada majlis sama, turut berlangsung sesi pertukaran memorandum persefahaman antara KL Orthosports dan syarikat peranti perubatan ortopedik tempatan Evo Med Sdn Bhd bagi menyediakan latihan khusus untuk pakar ortopedik menjalankan pembedahan penggantian rekonstruksi ligamen ACL dan PCL lutut serta penyediaan graf inovasi MUIB.
Selain itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan bantuan geran kewangan RM171,200 oleh SME Corp melalui Program Ekosistem Inklusif (i-SEE) kepada KL Orthosports, bertujuan menggalakkan inovator atau syarikat melaksanakan projek inovasi yang menyediakan produk atau perkhidmatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial