BERITA TERGEMPAR   Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 rakam ucapan takziah kepada Myanmar, Thailand dan rakyatnya susulan gempa bumi yang melanda rantau ini pada Jumaat | Malaysia as ASEAN Chair 2025 extends deepest condolences to Myanmar, Thailand and their people following the deadly quake that hit the region on Friday | 
 AM > BERITA

2.77 Juta Kenderaan Dijangka Guna Lebuh Raya Utama Sempena Aidilfitri Ini

27/03/2025 10:58 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan  jumlah trafik kepada 2.77 juta kenderaan sehari yang akan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.

LLM dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 2.1 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS, diikuti Lebuhraya KL-Karak (216,000), Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (176,000), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 (156,000) dan LPT2 (70,000) pada hari puncak sepanjang tempoh perayaan ini.

“Pergerakan kenderaan keluar dari ibu kota menuju ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan tanah air dijangka akan menunjukkan peningkatan bermula hari ini, mengambil kira cuti sekolah tambahan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2 hingga 4 April ini.

“Manakala aliran trafik kembali ke ibu kota akan menunjukkan peningkatan bermula 5 dan 6 April,” menurut kenyataan itu.

Dalam usaha mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh cuti perayaan, LLM mengambil beberapa langkah antaranya memastikan tiada penutupan lorong syarikat konsesi lebuh raya, kecuali bagi kerja kecemasan bermula 24 Mac hingga 7 April ini.

Selain itu, laluan laluan smart lane turut diaktifkan di 28 lokasi yang telah dikenal pasti di Lebuhraya PLUS dan pengguna yang melalui jajaran yang terlibat, boleh menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan alternatif ketika berlaku kesesakan serta dinasihatkan mematuhi papan tanda lalu lintas yang disediakan.

“Penunggang motosikal diharapkan sentiasa fokus ketika menunggang dan peka dengan pengaktifan smart lane di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti. Sebanyak 472 lokasi tempat berlindung motosikal turut disediakan di sepanjang lebuh raya,” menurut kenyataan itu.

Pada masa yang sama, syarikat konsesi lebuh raya utama turut diingatkan supaya memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik, pengoperasian lebuh raya dalam keadaan terbaik serta berfungsi sepanjang tempoh tersebut.

LLM berkata semua kemudahan seperti parkir dan tandas sementara daripada jenis mudah alih dan kabin juga disediakan untuk menampung keperluan pengguna, selain bekalan minyak di stesen-stesen minyak dipastikan mencukupi dengan kerjasama pengusaha stesen demi keselesaan penguna lebuh raya.

“Tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan pula akan dilaksanakan bermula 29 hingga 30 Mac ini dan 5 hingga 6 April. Langkah itu dijangka sedikit sebanyak akan membantu aliran trafik yang lebih baik di lebuh raya utama negara.

LLM turut menasihati pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan merujuk aplikasi MyPLUS-TTA daripada pihak PLUS Berhad bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan dan Cadangan Waktu Perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) oleh pihak AFA Prime bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

Pengguna juga boleh mendapatkan status semasa trafik lebuh raya atau sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi LLM atau hubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian 1-800-88-7752 yang beroperasi 24 jam bermula 28 Mac hingga 6 April depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan