KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Grab Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BYD Sime Motors, Yinson Green Technologies (M) dan Power-Up Tech (P.UP) bagi memacu penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan rakan-pemandu Grab di seluruh negara.
Grab Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama itu bertujuan menggalakkan penggunaan EV dan menyediakan kemudahan EV yang mudah diakses untuk rakan-pemandu Grab selain mengurangkan pelepasan karbon sekali gus menyumbang kepada Ekonomi Hijau Malaysia.
“Di seluruh Asia Tenggara, kos permulaan yang tinggi menjadi halangan utama kepada penggunaan EV. Melalui perkongsian strategik ini, Grab berhasrat mempercepatkan pengelektrikan sektor pengangkutan dengan menawarkan akses EV pada kadar kompetitif kepada pekongsi fleet dan rakan-pemandu, sambil mewujudkan infrastuktur atau kemudahan pengecasan yang mudah diakses,” menurut kenyataan itu.
Bagi menggalakkan penggunaan EV, Grab akan mengintegrasikan EV ke dalam platformnya termasuk perancangan untuk melancarkan perkhidmatan e-hailing, harga kereta eksklusif dan kadar sewaan istimewa kepada rakan-pemandu Grab.
Dalam menyediakan kemudahan menyeluruh, Grab akan membangunkan inisiatif yang menyediakan akses EV pada kadar lebih mesra untuk rakan-pemandu, infrastruktur pengecasan strategik, sesi latihan dan sokongan penyelenggaraan.
Pengarah operasi dan mobiliti negara Grab Malaysia Rashid Shukor dalam kenyataan sama berkata sebagai platform utama untuk perkhidmatan pengangkutan serta penghantaran atas permintaan, Grab komited untuk mengurangkan impak alam sekitar sambil membawa impak sosial yang positif.
“Melalui kerjasama ini, kami bukan sahaja menyokong agenda kelestarian Malaysia tetapi juga memperkasakan rakan-pemandu kami dengan akses kepada alternatif yang lebih hijau.
“Dengan bekerjasama dengan peneraju industri utama, kami berhasrat untuk mempercepatkan penggunaan EV dan memacu manfaat jangka panjang untuk komuniti dan alam sekitar kami,” katanya.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong yang turut hadir pada majlis itu berkata MoU berkenaan mewakili langkah penting dalam perjalanan mobiliti hijau Malaysia.
“Melalui dasar dan agenda kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, kerajaan telah memperkenalkan insentif cukai dan sokongan lain untuk menyokong penggunaan EV.
“Pada masa sama, peralihan kepada EV bergantung kepada kerjasama kukuh antara kerajaan dan sektor swasta. Komitmen Grab Malaysia hari ini, bersama-sama rakan kongsinya, menggambarkan sinergi ini. Perkongsian ini mencerminkan visi bersama kami untuk masa depan yang lebih lestari,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial