AM > BERITA

Petugas Kesihatan Johor Terima Duit Raya

26/03/2025 06:08 PM

ISKANDAR PUTERI, 26 Mac (Bernama) -- Sebanyak 26,933 petugas kesihatan di Johor akan menerima Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM100 pada awal April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata pemberian buat kali pertama bersempena dengan Aidilfitri itu melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM2.6 juta.

"Bantuan ini diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tadi (hari ini), ia merupakan kali pertama dalam sejarah kerajaan negeri memberi duit raya sebagai tanda penghargaan kepada petugas kesihatan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Aset Perubatan dan Bukan Perubatan kepada tiga klinik kesihatan di sini hari ini.

Sementara itu, Ling berkata kerajaan negeri menerusi belanjawan membantu menaik taraf fasiliti Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah, KK Majidee dan KK Tebrau termasuk menyumbang ambulans.

"Selain itu, kerajaan negeri menerusi kerjasama dengan pihak swasta turut menyumbang peralatan perubatan dan bukan perubatan kepada tiga klinik ini.

"Justeru, kita mengalu-alukan lebih ramai pihak swasta turut serta menyumbang menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR)," katanya.

Kerajaan negeri menerusi Belanjawan 2025 memperuntukkan RM4 juta bagi bantuan menaik taraf fasiliti di tiga klinik kesihatan berkenaan serta KK Kulai.

Ling dalam pada itu, berkata kerajaan negeri sedang mengenal pasti lokasi baharu bagi memindahkan perkhidmatan kesihatan ibu dan anak di KK Gelang Patah sebagai usaha untuk mengatasi kesesakan di klinik terbabit.

"Tempat baharu itu nanti akan lebih selesa dan lokasinya berdekatan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan