AM > BERITA

5GB Data Percuma Pada Hari Raya Pertama Bantu Rakyat Erat Silaturahim

26/03/2025 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Pengumuman insentif pemberian data percuma 5GB kepada rakyat Malaysia pada hari pertama Aidilfitri dianggap sebagai satu usaha murni Kerajaan MADANI, sekali gus memberi manfaat khususnya kepada golongan B40 yang memiliki pelan data terhad.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata pemberian data percuma itu antara langkah positif terutama pada musim perayaan, bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat berhubung dengan keluarga dan sahabat handai tanpa kekangan akses internet.

“Walaupun insentif ini kelihatan kecil, ia tetap signifikan kerana komunikasi adalah keperluan penting dalam kehidupan seharian. Golongan B40 pastinya akan menyambut baik inisiatif ini kerana mereka amat memerlukan bantuan dalam mendapatkan akses kepada data,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan pemberian insentif rebat RAHMAH itu berbentuk tambahan kuota data minimum 5GB untuk pengguna prabayar dan pascabayar.

Tambahan kuota data itu sah bagi tempoh minimum 24 jam, tertakluk kepada terma dan syarat syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat.

Sementara itu, Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM) Syafiq Ridzwan Jamaluddin berpandangan insentif ini juga membuka peluang kepada belia untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi digital dalam pelbagai bentuk termasuk menghasilkan kandungan kreatif berkualiti sempena perayaan, sekali gus menyemarakkan semangat Aidilfitri di platform digital.

Beliau berkata data percuma itu juga boleh digunakan untuk mengukuhkan jaringan sosial dan silaturahim dengan berkomunikasi bersama ahli keluarga dan sahabat handai yang jauh.

“MBM juga ingin menyeru kepada golongan belia agar memanfaatkan insentif ini dengan bijak dan beretika serta elakkan daripada menyalahgunakan kuota data untuk perkara yang tidak berfaedah seperti penyebaran berita palsu, kandungan tidak sihat atau aktiviti yang tidak produktif. 

“Sebagai generasi yang celik digital, belia harus menjadi pemangkin kepada penggunaan internet yang berhemah, termasuk menyebarkan mesej positif, berkongsi ilmu bermanfaat dan memperkukuh nilai-nilai perpaduan sempena Hari Raya Aidilfitri.

“MBM percaya inisiatif ini boleh menjadi pemangkin kepada masyarakat digital yang lebih bertanggungjawab dan produktif, sejajar dengan aspirasi negara ke arah Malaysia MADANI yang inklusif dan maju,” katanya. 

Pelajar UiTM Rembau Nabil Azman, 23, berkata selain panggilan telefon, data tambahan itu juga boleh dimanfaatkan untuk membuat panggilan video bersama orang tersayang yang tidak dapat merayakan Aidilfitri bersama-sama.

“Mungkin ada ahli keluarga yang tak dapat balik kampung sebab bekerja dan sebagainya, jadi panggilan video adalah satu-satunya medium yang dapat mengeratkan silaturahim… 5GB besar juga, bolehlah kami gunakan untuk menghubungi mereka di perantauan,” katanya.

Selain mahu memanfaatkan data percuma itu untuk memuat naik momen istimewa Aidilfitri di media sosial, dia akan menggunakannya bagi aplikasi yang menentukan lokasi dan arah seperti Waze ketika mencari lokasi rumah saudara mara dan rakan untuk beraya bersama.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan