AM > BERITA

Malaysia Berpeluang Bergerak Lebih Proaktif Perkasa Urus Bencana Negara - Ahmad Zahid

26/03/2025 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) --  Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, berpeluang untuk bergerak lebih proaktif dalam memperkasakan pengurusan bencana di negara-negara serantau, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata menerusi Kepengerusian ASEAN pada kali ini yang mengangkat tema "Keterangkuman dan Kemampanan", ia akan membuka ruang penambahbaikan yang lebih luas terhadap pengurusan bencana negara.

"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), saya turut berbangga dengan pendekatan whole-of-nation (keseluruhan negara) yang dizahirkan dalam semua fasa pengurusan bencana termasuk pada peringkat serantau dan antarabangsa. 

"Selain negara anggota ASEAN, Malaysia turut diiktiraf oleh International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui penghantaran Pasukan SMART ke Turkiye, penyertaan dalam rundingan dasar bencana, serta latihan bersama agensi luar negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus memberi keutamaan yang kekal serta jelas dalam memperkukuh dasar, mempercepat pelaksanaan dan memperluas kerjasama tatkala negara berdepan perubahan iklim dan bencana yang semakin kompleks.

"Kesiapsiagaan bencana akan dinilai bukan semata-mata dengan fungsi dan kecekapan pentadbiran pada peringkat kerajaan, tetapi nilai tanggungjawab kolektif semua rakyat untuk melindungi nyawa, kehidupan dan masa depan negara kita bersama," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata ketika ini kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha pascabanjir dan bantuan kemanusiaan kepada semua mangsa yang terlibat setelah Monsun Timur Laut 2024/2025 berakhir.

"Saban tahun, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memastikan semua agensi di bawah JPBP, negeri (JPBN) dan daerah (JPBD) sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan segala bentuk bencana demi keselamatan rakyat. 

Segala inisiatif dan mekanisme pengurusan bencana yang dilaksanakan oleh NADMA selaku agensi peneraju menjadi penanda aras kepada keberkesanan dasar terhadap tahap kesiapsiagaan sistem dan semangat kerjasama seluruh negara untuk masa mendatang," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, peruntukan bantuan bencana yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan pada 2024 turut mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap mangsa-mangsa bencana di seluruh negara.

"Ia termasuk RM232 juta kepada semua negeri bagi pemberian RM1,000 untuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada Ketua Isi Rumah yang terjejas akibat bencana dan RM10,000 untuk BWI Kematian, iaitu kepada waris mangsa bencana yang kehilangan nyawa.

"Sebanyak RM9.28 juta diperuntukkan bagi pengurusan pengoperasian bencana kepada NADMA yang bertujuan melancarkan operasi tindak balas dan menyelamat mangsa bencana di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sama ada pada peringkat pusat, negeri mahupun daerah," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata langkah-langkah pencegahan dan mitigasi turut menjadi tumpuan utama sepanjang tahun lepas termasuk operasi pembenihan awan di beberapa kawasan terpilih yang menunjukkan pendekatan kerajaan semakin beralih kepada pengurangan risiko secara proaktif. 

Dari sudut kecekapan operasi, beliau berkata latihan berstruktur untuk pegawai di PKOB dan PKTK telah dilaksanakan secara meluas.

"Keupayaan tindak balas diperkasakan menerusi penempatan lima unit jambatan Bailey di lokasi strategik dan perolehan sebanyak 49 set pam air bergerak dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 2024 dan pam ini seterusnya diagihkan ke Perak, Johor dan Kelantan bagi mempercepat proses mengeluarkan air banjir ‘termenung’," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan