AM > BERITA

Rakyat Perlu Fahami Antara Satu Sama Lain Bagi Bentuk Negara Bersatu Padu

26/03/2025 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Semua rakyat di negara ini harus memahami antara satu sama lain, menghormati dan menerima kepelbagaian yang ada bagi membentuk negara yang bersatu padu.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata membina perpaduan bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi ia tanggungjawab bersama.

“Oleh itu, saya ingin mengajak semua ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta untuk berganding bahu dalam menerapkan nilai perpaduan dalam kehidupan seharian.

“Keluarga ialah institusi pertama yang membentuk nilai dan pemikiran generasi muda. Ibu bapa perlu menjadi contoh dalam menanamkan nilai-nilai murni, seperti sikap hormat-menghormati dan tolak ansur, dalam diri anak-anak sejak kecil,” katanya dalam ucapan pada majlis Iftar Perdana NGO Family Of Charity di sini hari ini.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya mengambil peranan dalam memupuk nilai kesederhanaan (wasatiyyah) dalam kalangan generasi muda.

“Nilai ini penting dalam membentuk sikap keterbukaan, toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain. Dengan adanya sikap sederhana ini, kita dapat memastikan bahawa masyarakat kita tidak mudah terpengaruh oleh elemen-elemen ekstremisme yang boleh merosakkan keharmonian negara.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita harus terus berusaha untuk memperkukuh keharmonian negara. Marilah kita bersama-sama menolak segala bentuk ekstremisme, perkauman sempit dan sikap fanatik yang boleh merosakkan keamanan yang kita nikmati hari ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan