AM > BERITA

Suami Isteri Ringankan Beban Ibu Bapa Dengan Pakaian Kanak-Kanak Harga Rahmah

28/03/2025 12:29 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 28 Mac (Bernama) -- Dengan niat meringankan beban ibu bapa, khususnya mereka yang kurang berkemampuan, pasangan suami isteri Roszaima Rosdi, 38, dan Mohd Nizamuddin Johari, 40, mengambil inisiatif menawarkan pakaian kanak-kanak pada harga mampu milik melalui butik mereka, Bella’s Little Box.

Sejak mula beroperasi 10 tahun lepas, butik yang berkonsepkan ‘harga Rahmah’ ini terus menjadi pilihan ramai, terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

Terletak di Kubah Ria, butik tersebut menawarkan baju raya kanak-kanak dengan harga serendah RM10 hingga RM19.90 sepasang, menjadikannya destinasi popular bagi penduduk Kuching dan kawasan sekitarnya.

“Sebelum inisiatif harga Rahmah diperkenalkan, kami memang sudah menjual pakaian kanak-kanak dengan harga rendah kerana ingin memastikan semua orang mampu membeli. Alhamdulillah, walaupun keuntungannya tidak besar, perniagaan kami tetap bertahan hingga ke hari ini,” kata Roszaima ketika ditemui Bernama.

Menurut Roszaima, koleksi istimewa sempena Aidilfitri kali ini termasuk baju Melayu bersamping, baju kurung, dan kurta untuk kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun.

Menurut ibu kepada dua anak ini, jualan butik mereka meningkat sehingga 40 hingga 50 peratus sepanjang musim perayaan berbanding bulan biasa.

Bermula dengan hanya satu lot di Kubah Ria pada 2015, Bella’s Little Box kini berkembang dengan dua lagi cawangan di Kota Samarahan dan Bintulu. Sebanyak 90 peratus pelanggan memilih untuk membeli secara terus di butik fizikal bagi mencuba pakaian terlebih dahulu.

“Kami juga menawarkan penghantaran ke seluruh Sarawak melalui platform Facebook. Semasa Ramadan dan Hari Raya, jualan kami mampu mencecah enam angka atau lebih RM100,000 sebulan,” kata Roszaima.

Menurutnya, pada dua hari terakhir sebelum Aidilfitri, butik mereka menawarkan promosi harga runtuh untuk pembelian saat akhir. Ini sering menarik ramai pelanggan, terutama pada waktu petang dan malam.

Sempena Ramadan, waktu operasi butik dilanjutkan dari 10 pagi hingga 9 malam bagi memudahkan pelanggan membeli selepas berbuka puasa.

Sementara itu, seorang pelanggan tetap, Sayalabiah Idet, 32, berkata beliau dan suaminya teruja membeli baju raya untuk anak pertama mereka yang kini berusia setahun.

“Tahun lepas kami tidak membeli baju raya kerana anak masih kecil. Tahun ini, kami sangat gembira dapat membeli pakaian yang bukan sahaja berpatutan tetapi juga menawarkan pelbagai pilihan corak dan warna,” katanya.

Dengan hanya beberapa hari lagi sebelum sambutan Aidilfitri, Bella’s Little Box terus menjadi destinasi utama bagi ibu bapa yang mencari pakaian kanak-kanak berkualiti pada harga mesra poket.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan