AM > BERITA

Nama Aidilfitri Satu Kebanggaan, Bukan Sekadar Hari Raya

28/03/2025 01:18 PM

SEREMBAN, 28 Mac (Bernama) -- Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi menjadi identiti dan simbol kebanggaan serta kegembiraan selain mempunyai keunikan tersendiri bagi pemilik nama Aidil Fitri Zainal Abidin.

Dilahirkan pada 1 Syawal 1983 di Hospital Tuanku Jaafar di sini, lelaki berusia 42 tahun yang mesra dipanggil Aidil ini berkata nama berkenaan diberikan oleh arwah ibunya, Mazni Abdul Hamid, sebagai tanda kesyukuran menyambut kelahirannya pada hari kemenangan umat Islam.

Di sebalik keindahan nama itu, Aidil Fitri pernah berasa malu dengan namanya kerana sering dijadikan bahan jenaka dan gurauan oleh rakan-rakan, namun seiring waktu dia menyedari bahawa nama itu membawa makna yang istimewa.

“Nama saya bukan sekadar nama, ia melambangkan sesuatu yang menggembirakan orang ramai. Setiap kali orang dengar nama saya, mereka akan teringat tentang perayaan, kebahagiaan dan merapatkan silaturahim, jadi saya perlu bangga.

"Memanglah mula-mula sekolah dulu rasa malu kerana disamakan dengan hari raya, tetapi lama-lama ia sudah jadi kebiasaan, saya pun dah tak fikir sangat, sampai sekarang masih ada kawan-kawan mengusik, mereka cakap saya sambut raya hari-hari sebab 'Aidil Fitri'," katanya kepada pemberita.

Aidil Fitri berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Bersama Perhubungan UMNO Negeri di sini yang dihadiri Menteri Luar merangkap Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan semalam.

Dalam pada itu, Aidil Fitri berkata tiga anaknya juga kini berdepan situasi sama apabila sering menjadi bahan gurauan oleh rakan-rakan kerana nama ayah mereka yang unik.

Namun, katanya, dia tidak melihatnya sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya mengambil peluang itu untuk mendidik anak-anak supaya berasa bangga dengan keistimewaan yang disifatkan lain daripada yang lain.

“Saya selalu ingatkan anak-anak, nama ini membawa makna besar. Bukan semua orang ada nama yang boleh buat orang tersenyum apabila mendengarnya. Ia satu keistimewaan, bukan kelemahan, malah Tok Mat (Mohamad) juga sering berseloroh dengan nama saya,” kata Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Bahau itu.

Mengimbau kembali detik kelahirannya, Aidil Fitri berkata arwah ibunya pernah menceritakan dia berasa sakit untuk bersalin selepas menunaikan solat sunat hari raya pada 1 Syawal sebelum anak ketiga daripada tujuh beradik itu selamat dilahirkan pada 5 petang.

“Ketika itu, arwah ayah Zainal Abidin Abdullah Zaid ingin tambah ‘Mohd’ pada pangkal nama saya dan arwah nenek pula mahu nama Syawal, tetapi setelah berbincang, saya diberi nama Aidil Fitri,” katanya yang berasal dari Paroi itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan