KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan lancar meskipun terdapat peningkatan jumlah kenderaan menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata setakat pukul 11.30 pagi, trafik di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) masih lancar, namun aliran trafik dijangka meningkat sedikit selepas pukul 2 petang ini susulan orang ramai mula bergerak pulang ke kampung.
“Keadaan trafik di kawasan Gombak menuju ke Genting Sempah masih terkawal tanpa kesesakan setakat ini. Laluan menghala ke Pantai Timur dan Utara juga dilaporkan lancar.
“Namun, di laluan Selatan, trafik dilaporkan perlahan dari Kempas menuju ke Persimpangan Pasir Gudang, Johor,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata pihaknya menjangkakan jumlah kenderaan akan terus meningkat hari ini berikutan orang ramai mula bercuti bersempena dengan Aidilfitri.
Beliau berkata pihak polis telah meningkatkan kawalan dan pemantauan lalu lintas bagi memastikan kelancaran perjalanan, khususnya di laluan utama.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik, atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial