AM > BERITA

MBAS Giat Didik Masyarakat Kitar Semula Untuk Jana Pendapatan, Jaga Alam Sekitar

29/03/2025 11:59 AM

POKOK SENA, 29 Mac (Bernama) -- Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menggiatkan usaha mendidik masyarakat di kawasan pentadbirannya untuk menjadikan aktiviti kitar semula sebagai sumber pendapatan selain menjaga kebersihan alam sekitar.

Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya berkata selepas dilantik memegang jawatan itu pada 2 Feb lepas, beliau meletakkan misi untuk memastikan kelestarian alam sekitar di kawasan kendalian MBAS terpelihara.

“Kita lihat kesedaran masyarakat masih kurang, jika dibandingkan dengan nisbah jumlah penduduk di kawasan kendalian MBAS melibatkan Kota Setar dan Pokok Sena. 

“Kempen dan promosi sedang dipergiatkan menerusi media sosial, selain mengadakan koordinasi dengan pelbagai agensi serta Kawasan Rukun Tetangga bagi mencapai hasrat itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata aktiviti seperti mengutip barangan kitar semula juga akan diadakan dengan lebih kerap di kawasan perumahan dan masjid, selain menggiatkan program tanggungjawab sosial korporat oleh pelbagai agensi.

Abdul Gafar berkata Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) di Pasar Besar Peremba, Alor Setar yang dikendalikan syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn Bhd antara pusat kitar semula yang menawarkan harga terbaik.

“Sebagai contoh, minyak masak terpakai boleh dijual pada harga RM3 sekilogram, ini tidak termasuk kertas, botol, plastik, tin aluminium, besi, gelas dan kotak yang mempunyai nilai sendiri,” katanya.

Justeru, beliau menyeru masyarakat mengambil peluang tersebut untuk menjana pendapatan sampingan selain membantu memelihara alam sekitar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan