AM > BERITA

Hutang Sesama Manusia Perlu Diselesaikan Sebelum Laksana Haji - Mufti Selangor

30/03/2025 10:16 AM

SHAH ALAM, 30 Mac (Bernama) -- Sebelum melaksanakan ibadah haji, umat Islam perlu memahami sejelas-jelasnya konsep kemampuan (istito’ah) yang menjadi satu daripada syarat wajib menunaikan rukun Islam kelima itu.

Ada yang beranggapan apabila mereka telah mempunyai simpanan mencukupi untuk membiayai tambang serta menampung perbelanjaan sepanjang berada di Tanah Suci dan keluarga di tanah air, maka mereka telah pun melepasi syarat wajib.

Namun ada segelintir bakal haji terlepas pandang serta ada juga yang memandang remeh dengan pergi menunaikan ibadah itu tanpa menjelaskan hutang dengan kenalan mahupun saudara mara terlebih dahulu

Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir berkata Islam memberikan perhatian yang tinggi terhadap hak-hak manusia dan hutang yang belum dilunaskan adalah amanah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu dalam memenuhi perkara dalam konsep istito'ah haji.

"Antara umrah dengan membayar hutang, umrah hukumnya sunat manakala membayar hutang hukumnya wajib, maka wajib didahulukan membayar hutang terlebih dahulu. 

“Adapun haji ini wajib (sekali seumur hidup bagi yang  berkemampuan), hukum menjelaskan hutang juga wajib, sebahagian ulama berpendapat hutang dengan manusia perlu diselesaikan dahulu kerana ia berkaitan dengan hak orang lain," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Anhar berkata pandangan ini diperkuat dengan hadis diriwayatkan Abu Hurairah R.A iaitu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menangguh pembayaran hutang bagi orang yang mampu ialah satu kezaliman." (Sahih al-Bukhari 2287)

"Jadi sebenarnya jika selepas dia membayar hutang kemudian menyebabkan dia tidak ada duit yang lain, maka dia dikira tidak mampu, maka tidak wajib untuk dia pergi menunaikan haji," katanya.

Bagaimanapun Anhar menjelaskan sekiranya seseorang itu masih terikat dengan hutang berupa pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan, ia tidak menafikan kewajipan haji atas mereka selagi mana mereka mampu untuk melunaskan hutang tersebut dan memenuhi keperluan kewangan lain.

Sementara itu, Anhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembimbing Ibadah Haji berkata ada juga dalam kalangan umat Islam yang memenuhi semua syarat istito'ah haji, tetapi masih enggan menunaikannya tanpa sebab yang diterima syarak dan mereka ini disifatkan sebagai golongan mengabaikan kewajipan agama.

"Berkaitan dengan mereka yang enggan menunaikan haji sedangkan dia mampu, maka yang ini hukumnya adalah berdosa kerana menunaikan haji adalah rukun Islam dan hukumnya adalah wajib bagi orang yang mampu.

"Sebagai contoh, dengan harta yang dimiliki, dia masih lagi tidak membuka akaun Tabung Haji (TH) dan mendaftar walaupun minimum RM1,300 untuk mendaftar menunaikan haji, ini menunjukkan bahawa seakan-akan dia tidak mahu untuk menunaikan haji, sedangkan dia mampu," katanya.

Sementara itu, Anhar berkata selain kemampuan fizikal dan kewangan, istito'ah yang digariskan hukum syarak turut mencakupi aspek kemampuan dari sudut keselamatan iaitu aman dalam perjalanan serta mempunyai kenderaan untuk pergi dan balik serta kebenaran pihak Arab Saudi. 

Selain itu katanya sihat tubuh badan juga menjadi antara lima syarat yang disebutkan sebagai istito'ah iaitu mampu mengerjakan sendiri ibadah haji kerana setiap jemaah perlu berhadapan dengan lautan manusia dalam tempoh yang agak lama iaitu sehingga 45 hari, selain cuaca panas kering yang berbeza dengan suhu di tanah air.

“Sama ada ketika menunaikan tawaf, sai’e mahupun ketika melontar nanti, semua tempat-tempat yang terlibat sesak dan memerlukan kekuatan fizikal tubuh badan serta yang lebih utama juga kekuatan mental.

“Oleh kerana itu Tabung Haji melaksanakan saringan kesihatan yang ketat untuk setiap bakal jemaah. Bukannya untuk menidakkan mereka yang layak tetapi sebaliknya bagi memenuhi maqasid atau tujuan utama bagi memastikan jemaah berada dalam tahap kesihatan terbaik sekali gus memastikan ibadah haji dapat dilakukan dengan sempurna," katanya. 

Pada musim haji 1446H/2025M ini, bayaran untuk seorang bakal haji muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu ditetapkan pada RM15,000, RM23,500 bagi kumpulan M40 dan T20 perlu membayar penuh iaitu RM33,300.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan