AM > BERITA

Trend Membankrapkan Diri Sendiri Cetus Kebimbangan - KP Insolvensi

30/03/2025 12:01 PM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 30 Mac (Bernama) -- Trend membankrapkan diri sendiri mencatatkan peningkatan membimbangkan sekali gus memberikan petanda bahawa banyak individu sedang bergelut dengan masalah kewangan yang serius.

Beberapa tahun kebelakangan ini, banyak memilih untuk mengisytiharkan bahawa mereka telah bankrap atau muflis melalui kaedah petisyen penghutang dikemukakan sendiri di mahkamah bagi melindungi diri daripada tuntutan pemiutang yang berlebihan.

Meluahkan kebimbangan terhadap trend itu, Ketua Pengarah Insolvensi Datuk M Bakri Abd Majid berkata  jumlah kes membankrapkan diri sendiri meningkat hingga 200 peratus iaitu 330 kes pada 2024 berbanding 181 kes pada 2023 dan 116 kes pada 2022. 

“Kita melihat peningkatan kepada jumlah yang membankrapkan diri sendiri dengan peminjam rasa dia tidak mampu bayar dan membankrapkan diri sendiri.

“Mungkin peminjam tidak mahu bayar hutang dan dia bankrapkan diri sendiri contohnya sekarang bulanan hutang perlu dibayar RM2,000 sebulan tetapi selepas bankrap mungkin dia harapkan perlu bayar RM200 sahaja sebulan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata Jabatan Insolvensi (MDI) memandang serius trend itu dan sedang meneliti kaedah pelaksanaan Petisyen Penghutang yang ketika ini tidak mempunyai nilai ambang tertentu berbanding kaedah Petisyen Pemiutang.  

“Melalui Petisyen Penghutang, peminjam pergi dapatkan perintah mahkamah untuk bankrapkan diri dan ia tidak ada nilai ambang, cuma mereka perlu isi dokumen dan lakukan bayaran deposit. 

“Bagi Petisyen Pemiutang, jika hutang RM100,000 ke atas, peminjam boleh dibankrapkan,” katanya sambil menambah perkara itu diteliti agar ia tidak dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

M Bakri berkata Dasar Peluang Kedua diperkenalkan kerajaan untuk membela nasib rakyat supaya dapat dilepaskan daripada kebankrapan juga berkemungkinan dieksploitasi sekiranya trend membankrapkan diri sendiri tidak dikawal. 

“Saya takut ada individu ambil kesempatan. Dia buat Petisyen Penghutang dan bankrapkan diri sendiri kerana dia tahu bila buat bayaran baik dalam tempoh tiga tahun, dia berhak untuk lepaskan (diri) menerusi Dasar Peluang Kedua,” katanya.

Dasar Peluang Kedua adalah inisiatif kerajaan MADANI membela nasib rakyat dengan jumlah hutang berskala kecil untuk dilepaskan daripada kebankrapan melalui syarat-syarat tertentu.

M Bakri berkata sebanyak 176,851 pelepasan kes kebankrapan dilaksanakan melalui Dasar Peluang Kedua bagi tempoh Mac 2023 hingga Disember 2024, melangkaui sasaran ditetapkan 130,000 orang. 

“Sekarang MDI sedang menguruskan Dasar Peluang Kedua kepada syarikat-syarikat yang telah mengalami kebankrapan. Kita sedang kenal pasti syarikat bagi menyertai dasar itu,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memperluas Dasar Peluang Kedua kepada syarikat-syarikat yang telah mengalami kebankrapan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan