KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Laporan siasatan berhubung kes seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan maut digilis tren selepas terjatuh di landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa pada 22 Feb lepas telah dihantar ke Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata laporan itu telah disiapkan oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden malang itu, selain mengesyorkan beberapa penambahbaikan supaya kejadian serupa tidak berulang.
Beliau berkata Prasarana menempatkan lebih ramai polis bantuan dan staf operasi di platform, terutamanya di stesen-stesen yang digunakan golongan OKU.
“Bagi penyelesaian jangka masa sederhana, kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Jika boleh kami akan memasang sensor di platform supaya dapat memberi amaran jika (ada) sesiapa (berada) terlebih daripada kawasan bahaya.
“Bagi jangka masa panjang, kami akan memulakan proses memasang pintu platform automatik (PSD) seperti di stesen MRT (Transit Aliran Massa),” katanya kepada pemberita selepas menyantuni petugas Rapid KL yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri di Hab Bas dan Rel Pasar Seni di sini hari ini.
Mohd Azharuddin berkata 3,730 kakitangan Prasarana, termasuk bas dan rel bertugas sempena Hari Raya Aidilfitri hari ini bagi memastikan kelancaran operasi apabila ramai pengguna mengambil peluang cuti umum untuk melawat saudara-mara dan berjalan-jalan di ibu kota.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga bersedia untuk meningkatkan frekuensi bas dan rel sekiranya jumlah pengguna meningkat ketika warga kota yang beraya dan bercuti di kampung masing-masing kembali ke ibu negara.
“Pada hari ini, 3,730 orang bertugas untuk semua operasi LRT, MRT dan bas (dan operasi) berjalan seperti biasa. Apabila ramai pulang dari kampung, kami akan meningkatkan frekuensi dan kakitangan seperti hari-hari biasa iaitu lebih 5,000 kakitangan,” katanya.
Ditanya mengenai ancaman keselamatan siber yang menjejaskan sistem komputer tertentu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Mac, beliau berkata pihaknya sentiasa menitikberatkan keselamatan dan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Beliau berkata pihaknya juga menerima arahan daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk memastikan sistem keselamatan siber sentiasa berada pada tahap terbaik.
Dalam pada itu, Pengurus Stesen LRT KLCC Mohamad Fauzi Abdul Manap, 47, yang berkongsi pengalaman bekerja pada musim perayaan berkata walaupun sedih tidak dapat beraya dengan keluarga, beliau sedia berkorban demi tugas.
“Tentunya sedih kerana tidak dapat ikut keluarga balik kampung, hanya melihat gambar sambutan menerusi WhatsApp, tetapi ‘alah bisa tegal biasa’, kita dah biasa demi bertugas. Sebagai pengurus, saya perlu pastikan semua operasi berjalan lancar dan peralatan berfungsi dengan baik.
“Antara cabaran kami bertugas di stesen seperti KLCC, Pasar Seni dan Masjid Jamek ketika hari raya adalah ‘diserbu’ warga asing, yang bukan semuanya boleh membaca atau mahir menggunakan perkhidmatan LRT,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial