KOTA KINABALU, 6 April (Bernama) -- Individu yang didapati bertanggungjawab terhadap pembunuhan gajah pygmy Borneo dengan memenggal kepala hiawan itu akan didakwa dan dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.
Liew berkata Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) sangat bimbang dengan penemuan bangkai gajah Pygmy Borneo tanpa kepala di Tawau baru-baru ini dan insiden itu telah disahkan oleh Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Mohd Soffian Abu Bakar.
Beliau berkata ini merupakan insiden kedua dalam tempoh yang singkat, menunjukkan kemungkinan wujudnya aktiviti pemburuan haram di negeri itu.
“Jabatan Hidupan Liar Sabah telah melancarkan siasatan segera terhadap insiden itu. Sebarang tindakan kejam dan pemburuan haram terhadap hidupan liar yang dilindungi di Sabah tidak akan dikompromi.
“Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mengenal pasti pelaku tersebut seterusnya didakwa dan dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata langkah penguatkuasaan juga telah dipertingkatkan termasuk melaksanakan operasi bersepadu dan sekatan jalan raya bersama agensi keselamatan lain di lokasi utama bagi mencegah aktiviti haram tersebut.
Liew turut menegaskan insiden terbaharu itu menunjukkan terdapat keperluan mendesak bagi kerjasama antara agensi penguatkuasaan negeri dan Persekutuan, komuniti tempatan serta orang awam dalam meningkatkan kewaspadaan.
“Kami (di KePKAS) menyeru semua pihak untuk berkongsi sebarang maklumat yang mungkin boleh membantu siasatan dan terus komited dalam melindungi biodiversiti unik Sabah,” katanya.
Beliau berkata dengan anggaran populasi gajah pygmy Borneo hanya tinggal 1,500 hingga 2,000 ekor di habitat liar, setiap kehilangan memberi kesan kepada usaha berterusan untuk melindungi dan memulihara spesies terancam itu.
Tambah beliau gajah pygmy Borneo merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan sebarang kesalahan terhadap spesies itu boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda dan penjara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial