KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Insiden kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights, yang menggemparkan negara Selasa lepas tidak mematahkan semangat anak-anak mangsa yang terkesan dengan kejadian itu untuk memulakan sesi persekolahan selepas bercuti sempena sambutan Aidilfitri.
Alysya Hanni Shahir, 15, bangun seawal 6 pagi untuk bersiap ke sekolah berkongsi keterujaannya kembali ke sekolah meskipun ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights sejak insiden itu berlaku minggu lepas.
“Saya rasa gembira sebab saya boleh pergi sekolah..Bukan semua (rumah) musnah, tapi saya tak boleh balik ke rumah lagi untuk ambil pakaian.
“Rumah saya jadi kawasan larangan sekarang, jadi tak boleh ambil apa-apa. Sekolah pun okay kalau tak pakai uniform,” katanya ketika ditemui di PPS itu.
Berkongsi perasaan sama, Mohd Aidil Ashraf Mohd Nizam, 16, turut bersemangat untuk ke sekolah terutama apabila pengangkutan juga disediakan bagi memudahkan perjalanan mereka.
“Saya bersemangat nak ke sekolah, nasib baik ada baju sukan untuk saya pakai ke sekolah,” katanya yang bersekolah di SMK USJ 8.
Sementara itu Haslina Nordin, 39, ibu kepada tiga anak turut meluahkan kesedihan apabila insiden kebakaran dan letupan itu mengubah rutin harian keluarganya.
“.. tak pernah terfikir benda ini akan berlaku. Sebab biasanya saya yang hantar anak-anak ke sekolah dan laluan itu (kawasan kebakaran), saya hantar anak saya setiap hari.
“Kadang-kadang sampai lima hingga enam kali lalu kawasan itu dalam sehari, tapi hari ini anak saya dihantar dengan van,” katanya ketika ditemui di PPS Masjid Putra Heights.
Lima van Rapid KL-On Demand digerakkan pagi ini bagi menghantar 76 pelajar dan murid terjejas insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor daripada dua PPS ke 19 sekolah di sekitar Subang Jaya.
Insiden kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 38 daripada keseluruhan 146 mangsa tragedi itu masih dirawat di hospital dan klinik, merangkumi 18 mangsa di hospital kerajaan manakala 20 lagi di kemudahan kesihatan swasta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial