KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Sakit jantung sehingga kini kekal sebagai kerisauan utama kesihatan di Malaysia, dengan sakit jantung iskemik menyumbang 15.1 peratus daripada kesemua kematian yang disahkan secara perubatan.
Lebih membimbangkan lagi apabila secara puratanya rakyat Malaysia mengalami serangan jantung pada usia 58 tahun, iaitu hampir lapan tahun lebih awal berbanding kepada purata global.
Walaupun terdapat kecenderungan trend ini, kebanyakan golongan dewasa muda cenderung untuk mengabaikan tanda-tanda awal dengan menganggap bahawa mereka masih terlalu muda untuk menghadapi masalah jantung,” kata Pakar Perunding Kardiologi, Elektrofisiologi dan Pakar Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMVC) Dr Lim Chiao Wen.
Beliau berkata kelewatan untuk mengenal pasti simptom sering menyebabkan terlepas peluang untuk rawatan awal, iaitu suatu yang amat membimbangkan bagi penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi, obesiti serta gaya hidup tidak sihat, yang menjadi semakin normal dalam kalangan golongan muda Malaysia.
“Itulah sebabnya pada masa ini, kesedaran awal dan pegesanan tepat pada masanya lebih penting -terutamanya dalam mengenal pasti tanda-tanda awal kepada sesuatu yang dikenali sebagai serangan jantung mini,” katanya.
Dr Lim berkata istilah itu biasanya merujuk kepada bentuk serangan jantung yang kurang serius, seperti angina tidak stabil dan Non-ST Elevation Myocardial Infarction (NSTEMI).
Beliau berkata angina tidak stabil berlaku apabila jantung tidak menerima bekalan darah mencukupi disebabkan saluran darah yang sebahagiannya tersumbat, menyebabkan sakit dada tanpa kerosakan kekal, manakala NSTEMI melibatkan kecederaan sebenar pada otot jantung, walaupun tidak seteruk serangan jantung sepenuhnya (STEMI) yang berpunca daripada saluran darah tersumbat sepenuhnya dan memerlukan rawatan kecemasan.
“Simptom biasa serangan jantung mini termasuk ketidakselesaan di dada, sesak nafas, keletihan, loya, pening dan sakit yang merebak ke rahang, leher, lengan atau bahagian belakang.
“Simptom-simptom ini sering tidak diendahkan, kerana ia juga boleh disebabkan oleh faktor harian seperti tekanan, kurang tidur atau bahkan masalah penghadaman,” katanya.
Beliau berkata malangnya, kurangnya kesedaran itu boleh menjadi suatu yang berbahaya, kerana walaupun serangan jantung mini menunjukkan bahawa aliran jantung telah tersekat buat sementara waktu, ia tetap menyebabkan kerosakan kepada otot jantung dan walaupun simptom itu kelihatan kecil, ia boleh menyebabkan kerosakan jantung yang ketara dan berkekalan.
Dr Lim berkata apabila bekalan oksigen terganggu walaupun untuk seketika, tisu jantung boleh menjadi tercalar dan melemahkan keupayaan jantung untuk mengepam darah dengan cekap.
Dalam jangka masa tertentu, kerosakan itu boleh menyumbang kepada sakit jantung kronik seperti kegagalan jantung, aritmia (degupan jantung tidak teratur) atau aliran darah yang lemah ke organ penting.
Beliau berkata kajian menunjukkan bahawa sehingga 50 peratus individu yang mengalami serangan jantung serius, pernah mengalami serangan jantung mini tanpa dikesan, yang bermakna mereka telah terlepas peluang untuk mendapatkan rawatan awal yang penting.
Dr Lim berkata dalam satu kajian yang dilaporkan oleh CNN menunjukkan bahawa kira-kira 42.4 peratus individu yang meninggal dunia akibat jantung terhenti secara tiba-tiba tanpa pengetahuan mengenai penyakit arteri koronari menunjukkan tanda-tanda pernah mengalami serangan jantung secara senyap.
“Bahaya serangan jantung mini ini bertambah serius, kerana kumpulan tertentu mempunyai risiko yang lebih tinggi termasuk pesakit diabetes dan warga emas, yang sering mengalami simptom yang tidak tipikal atau kurang ketara,” katanya.
Dr Lim berkata merokok dan menghisap vape kekal sebagai penyumbang utama kepada sakit jantung, kerana ia menyebabkan keradangan, darah menjadi lebih pekat dan menggalakkan pembentukan pembekuan yang boleh menyekat aliran darah ke jantung.
Agak membimbangkan apabila 19 peratus rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas dilaporkan merokok dan kadar penggunaan vape meningkat kepada 5.8 peratus pada 2023, menurut Kementerian Kesihatan.
Dr Lim berkata satu lagi kebimbangan ialah tabiat pemakanan yang buruk, yang telah lama menjadi kebiasaan di negara ini dan kini semakin teruk, disebabkan gaya hidup moden yang berasaskan kesenangan.
“Pengambilan makanan bergoreng, minuman manis dan daging diproses yang banyak, serta amalan menggunakan semula minyak masak, telah dikaitkan dengan peningkatan paras kolesterol dan pengumpulan plak dalam arteri, kedua-duanya secara signifikan meningkatkan risiko penyakit jantung,” katanya.
Risiko ini turut dipengaruhi gaya hidup sedentari dan kadar obesiti yang semakin meningkat, kerana duduk dalam tempoh yang lama dan kurangnya aktiviti fizikal secara perlahan-lahan melemahkan jantung dan individu yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi berhadapan risiko yang lebih tinggi.
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, 15.6 peratus rakyat Malaysia menghidapi diabetes, yang secara signifikan meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung.
Begitu juga tekanan darah tinggi yang memberikan tekanan tambahan kepada jantung dan boleh menyebabkan kerosakan arteri dalam masa jangka panjang, jika tidak dikawal.
Beliau berkata walaupun gaya hidup dan penyakit kronik menjadi faktor risiko yang diketahui umum, terdapat juga salah faham mengenai jantina dan penyakit jantung, khususnya anggapan bahawa wanita pascamenopaus lebih mudah mendapat penyakit jantung.
Dr Lim menjelaskan bahawa wanita pramenopaus mempunyai risiko lebih rendah, kerana kesan perlindungan hormon estrogen, tetapi selepas menopaus pada ketika paras estrogen menurun, wanita menghadapi risiko yang sama seperti lelaki dan mungkin mengalami simptom seperti keletihan luar biasa, pening atau loya dan bukannya sakit dada yang kuat seperti kebiasaannya.
“Disebabkan perkara ini, kebanyakan kes tidak dapat dikesan sehinggalah komplikasi jantung yang lebih serius berlaku,” katanya dan menambah bahawa faktor genetik juga memainkan peranan penting dalam risiko penyakit jantung bagi kedua-dua jantina.
Dr Lim berkata serangan jantung ringan boleh berulang jika faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, merokok, obesiti dan gaya hidup yang tidak dikawal dengan baik, memandangkan keadaan ini boleh terus merosakkan saluran darah, sekali gus meningkatkan kebarangkalian berulangnya serangan atau serangan jantung yang lebih serius.
Beliau berkata rawatan biasanya melibatkan gabungan ubat-ubatan dan prosedur untuk memulihkan aliran darah dan mengurangkan risiko masa depan, dengan sering diberikan ubat antiplalet dan pencair darah, manakala kes yang lebih serius mungkin memerlukan prosedur seperti angioplasti.
Dr Lim menekankan bahawa rawatan perubatan sahaja tidak mencukupi dan ia perlu disertai dengan perubahan gaya hidup yang berkekalan, termasuk diet sihat untuk jantung, senaman berkala, berhenti merokok, pengurusan tekanan dan kawalan tekanan darah dan kolesterol.
Beliau berkata menerusi saringan berkala, intervensi tepat pada masanya dan perubahan gaya hidup yang mampan, rakyat Malaysia boleh mengambil langkah proaktif untuk menjaga kesihatan jantung dan mengurangkan risiko serangan jantung berulang atau yang lebih serius.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial