BANTING, 7 April (Bernama) -- Impian seorang kanak-kanak lelaki yang menghidap kanser darah (Acute Lymphoblastic Leukemia) untuk merasai pengalaman sebagai seorang tentera walaupun hanya seketika, tercapai di Pangkalan Udara (PU) Jugra, Banting hari ini.
Hasrat Akif Ziyan Azhar yang berusia empat tahun itu dizahirkan oleh pihak Make A Wish Malaysia yang menyampaikan keinginan anak kecil itu kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Hari bersejarah bagi kanak-kanak berkenaan bermula apabila dijemput sendiri oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar di rumahnya di Jeram, Kuala Selangor untuk dibawa ke PU Jugra menggunakan kenderaan khas milik ATM Cendana Auto (Fitted for Radio).
Akif Ziyan yang mengenakan pakaian celoreng digital Tentera Darat Malaysia, kemudian berpeluang melihat dan merasai pengalaman Pemeriksaan Kawalan Suku oleh PAT selain turut diberi peluang berada di Pentas Kawalan ketika pemeriksaan berlangsung.
Kanak-kanak itu juga menyaksikan tayangan video mengenai Pasukan Khas Udara (PASKAU), diikuti dengan Demonstrasi Menyelamat Tebusan oleh tim PASKAU sebelum dianugerahkan pakaian seragam PASKAU oleh Mohd Nizam sejurus istiadat perbarisan berakhir.
Sementara itu, Mohd Nizam ketika ditemui pemberita berkata ATM juga telah menyediakan Close Escort Team lengkap berpakaian tempur untuk mengiringi Akif Ziyan sepanjang program bagi memastikan kanak-kanak itu menikmati pengalaman ketenteraan yang penuh makna dan istimewa.
Beliau berkata impian Akif Ziyan patut menjadi inspirasi kepada orang ramai mengenai peranan ATM yang sentiasa bergerak rapat dalam usaha membina masyarakat tanpa jurang.
Mohd Nizam berkata walaupun baru tiba dari Lubnan semalam, beliau memutuskan untuk menyantuni dan merealisasikan impian Akif Ziyan hari ini sebelum kanak-kanak itu meneruskan proses rawatan yang dijadualkan dalam masa terdekat.
"Kegembiraan Akif Ziyan ialah ganjaran yang kami (ATM) mahukan. Diharap demonstrasi Komando, PASKAU dan PASKAL dapat memupuk semangat juang buat dirinya untuk meneruskan kehidupan.
"Pengalaman yang dicurahkan kepada Akif Ziyan diharap dapat menaikkan semangatnya untuk terus berjuang melawan penyakit dan tidak mustahil untuknya menjadi seorang warga ATM suatu hari nanti," katanya.
Ibu Akif Ziyan, Zuraidah Kasan, 39, berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu sangat berminat untuk menjadi anggota tentera, malah sentiasa melihat aksi pasukan keselamatan itu menerusi media sosial YouTube.
Beliau berkata anaknya sedang menunggu tarikh bagi melakukan pembedahan dengan kakak sulung Akif Ziyan, Awliyah Zayanah, 11, disahkan layak mendermakan sel stem untuk adiknya.
"Terima kasih ATM kerana menunaikan impian anak saya untuk merasai pengalaman menjadi askar … saya dan seluruh ahli keluarga teruja melihat keseronokan pada wajah Akif Ziyan," katanya dan menambah anaknya disahkan menghidap kanser darah sejak April 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial