AM > BERITA

69 Peratus Penjual E-Dagang Malaysia Tunjuk Kefahaman Tinggi Terhadap AI - Lazada

09/04/2025 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Sebanyak 69 peratus penjual dalam talian di Malaysia menunjukkan tahap kefahaman yang tinggi terhadap kecerdasan buatan (AI), menurut hasil penyelidikan dijalankan platform e-dagang Lazada.

Lazada dalam kenyataan memaklumkan jumlah itu sejajar dengan purata serantau iaitu 68 peratus yang membuktikan penjual dalam talian di Malaysia mengetahui tentang kewujudan AI.

Menurut Lazada, penyelidikan itu turut mendapati penjual di Malaysia menganggarkan 30 peratus kadar penggunaan AI dalam operasi perniagaan mereka, namun pelaksanaan berdasarkan penyelidikan hanya 26 peratus, lebih rendah daripada purata Asia Tenggara sebanyak 37 peratus.

“Walaupun 89 peratus penjual di Asia Tenggara mengakui peranan AI dalam meningkatkan produktiviti, hanya 77 peratus penjual Malaysia berkongsi sentimen sama. Ini menunjukkan perbezaan persepsi terhadap kegunaannya, hanya satu daripada dua penjual di Malaysia kurang percaya terhadap manfaatnya berbanding hampir dua pertiga penjual di Asia Tenggara.

“Tambahan pula, walaupun 87 peratus penjual di Malaysia bersetuju AI mampu menjana penjimatan kos dalam jangka masa panjang, hampir dua pertiga menyatakan kos yang tinggi dan pelaksanaan yang memakan masa sebagai penghalang penggunaan,” katanya.

Lazada hari ini menerbitkan laporan penyelidikannya bertajuk Bridging the AI Gap: Online Seller Perceptions and Adoption Trends in Southeast Asia (SEA) hasil kerjasama dengan Kantar yang meninjau 1,214 penjual e-dagang dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam bagi mengkaji trend, cabaran serta peluang pengambilan AI.

Menurut Lazada, di Malaysia, kepentingan peningkatan kemahiran untuk AI adalah pada kadar 89 peratus walaupun majoriti penjual iaitu 67 peratus masih menunjukkan bahawa pekerja mereka lebih selesa menggunakan cara bekerja yang terbukti berkesan dan biasa digunakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lazada James Dong berkata penyelidikan itu mendedahkan jurang dalam ekosistem e-dagang Asia Tenggara, selain menunjukkan kebanyakan penjual di rantau ini sebenarnya memahami potensi transformatif AI, namun ramai yang masih dalam proses peralihan.

“Sebagai platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara, kami berhasrat merapatkan jurang pengetahuan dan penggunaan dengan membangunkan penyelesaian AI yang boleh diakses serta mampu menangani cabaran unik dihadapi penjual di pelbagai pasaran supaya teknologi ini lebih mudah diakses,” katanya dalam kenyataan itu.

Bagi menyokong penjual untuk memanfaatkan AI, Lazada turut melancarkan buku panduan Online Sellers Artificial Intelligence Readiness Playbook yang direka khas sebagai panduan strategik berdasarkan tahap kematangan AI setiap penjual.

“Penyelidikan menunjukkan para penjual mula memanfaatkan penyelesaian utama dipacu AI di platform Lazada untuk meningkatkan kecekapan mereka, sekali gus mengesahkan kepentingan pelaburan Lazada dalam inovasi AI terkini dan alatan termaju yang memudahkan operasi e-dagang,” menurut Lazada.

Lazada memaklumkan dengan 67 peratus penjual menyatakan kepuasan tinggi terhadap ciri-ciri AI sedia ada di platform e-dagang mereka, beberapa ciri baharu berasaskan AI Generatif turut diperkenalkan bagi memudahkan penjual dan pelanggan seperti AI Smart Product Optimisation, AI-Powered Translations dan Lazzie Seller.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan