AM > BERITA

Insiden Putra Heights: Wanita Sarat Mengandung Syukur Suami 'Paksa' Balik Kampung

10/04/2025 09:14 PM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Suri rumah Nur Izzati Misnam bersyukur kerana keputusan suaminya yang berkeras untuk pulang beraya di kampung pada hari pertama Aidilfitri telah menyelamatkan mereka sekeluarga daripada kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.

Nur Izzati, 30, yang sarat mengandung berkata rumah sewa didiami di Kampung Kuala Sungai Baru mengalami kerosakan 50 peratus dan masih tidak boleh dihuni akibat kejadian itu. 

“Saya keberatan untuk pulang ke kampung suami di Taiping, Perak kerana sedang menunggu hari (bersalin). Bimbang jika hendak bersalin semasa dalam perjalanan selain perlu menempuh kesesakan jalan. Smeinggu juga suami cuba memujuk kerana mahu menziarah pusara ibu bapanya.

“Akhirnya kami bertolak (pulang ke kampung) pada malam hari raya pertama. Terkejut bila mendengar berita insiden itu. Syukur kerana tak dapat bayangkan bagaimana hendak menyelamatkan diri dan anak-anak jika berada di rumah, dalam keadaan sarat mengandung," katanya kepada Bernama hari ini. 

Nur Izzati yang ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights berkata mahu segera pulang ke rumah semasa itu, namun suami Faizul Khairi Mat Sarji, 38, seorang anggota polis memintanya untuk menunggu kerana sedar mereka tidak akan dibenarkan masuk ke lokasi bencana pada hari pertama insiden.   

Mereka juga pada awalnya menjangkakan rumah hanya terjejas sekitar 30 peratus, namun sangkaan itu meleset dan kini ditempatkan di sebuah hotel dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

"Pemeriksaan rumah kali kedua mendapati ia tidak boleh diduduki kerana bumbung dan siling rosak. Air bersalut lumpur juga memenuhi rumah. Kelengkapan elektrik dan barang-barang rosak. 

“Kami bercadang untuk membaiki sedikit dahulu rumah menggunakan wang bantuan daripada kerajaan kerana takut lambat jika menunggu pihak terlibat. Harap kerajaan dapat membaiki dengan segera kerana lebih selesa jika dapat berpantang di rumah sendiri,” katanya. 

Walaupun berdepan ujian, wanita itu bersyukur kerana membawa kelengkapan bersalin dan keperluan bayi semasa pulang ke kampung sekali gus menyelamatkan barangan daripada musnah. 

Nur Izzati berterima kasih kepada semua yang menghulur sumbangan kepada mereka, selain menyifatkan maklumat berkaitan perkembangan semasa dan bantuan juga pantas menerusi kumpulan WhatsApp serta ketua kampung. 

Ditanya sekiranya perlu menyewa sementara menunggu rumah siap dibaiki, Nur Izzati berharap dapat mencari kediaman sekitar Kampung Kuala Sungai Baru kerana berdekatan dengan sekolah, membolehkan dua anaknya berbasikal ke sekolah.

Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan