AM > BERITA

Zakat MAINPP Serah 8,740 Tablet Kepada 263 Sekolah Di P. Pinang

11/04/2025 05:00 PM

GEORGE TOWN, 11 April (Bernama) -- Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) melalui Divisyen Projek Khas menyerahkan 8,740 unit tablet kepada 263 sekolah di seluruh negeri itu membabitkan kos keseluruhan RM6.5 juta.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata tajaan itu sebahagian daripada usaha Zakat MAINPP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi memperkukuhkan ekosistem pembelajaran digital di sekolah, terutama dalam kalangan pelajar Islam agar tidak tercicir dalam arus transformasi pendidikan moden.

Beliau berkata kemudahan itu akan digunakan sebagai akses kepada buku teks digital bagi melengkapi kelas pintar (smart classroom) sejajar dengan Pendidikan Abad ke-21 (PAK-21), yang menyasarkan pelajar dalam kalangan keluarga B40 bagi kategori asnaf fakir, miskin dan fisabilillah.

“Dunia kini bergerak pantas ke arah digital dan kefahaman terhadap teknologi, Keupayaan untuk menyesuaikan diri dengannya amat penting, terutama dalam sektor pendidikan kerana kita mahu pelajar bukan sahaja celik teknologi tetapi juga mampu bersaing secara global.

“Keperluan infrastruktur yang lengkap seperti kelas pintar, kelas hibrid dan prasarana digital lain juga harus diberi perhatian agar pembelajaran digital dapat dijalankan secara lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Peranti Tablet Zakat MAINPP kepada Sekolah-Sekolah Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Justeru, Mohamad yang juga Yang Dipertua majlis itu, berkata Zakat MAINPP memainkan peranan penting dalam penyumbangan tablet tersebut bagi menyokong dasar pendidikan digital yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau berkata penajaan itu mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang memutuskan penggunaan dana zakat daripada Kumpulan Wang Tawaqquf adalah harus untuk tujuan pendidikan.

“Usaha ini juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri melalui MAINPP selari dengan aspirasi Penang2030, sekali gus membuktikan transformasi negeri tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal tetapi juga kepada pembangunan minda dan sahsiah rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan