PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Jumlah penganggur pada bulan Februari terus menurun kepada 532,800 orang dengan kadar penganguran 3.1 peratus, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kedudukan tenaga buruh Malaysia kekal stabil selaras dengan perkembangan ekonomi semasa negara yang menggalakkan.
“Bilangan tenaga buruh pada bulan Februari berada pada trend yang meningkat, naik sebanyak 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 17.27 juta orang (Januari 2025: 17.22 juta orang).
“Kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi direkodkan pada bulan tersebut iaitu pada 70.7 peratus (Januari 2025: 70.6 peratus). Peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja dan trend penurunan dalam bilangan penganggur merupakan penyumbang kepada kedudukan positif ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan disokong oleh kemajuan berterusan dalam projek jangka panjang, peningkatan pendapatan isi rumah dan keadaan monetari global yang mereda.
“Selain itu struktur ekonomi negara yang pelbagai dan dasar-dasar yang menyokong telah mempengaruhi kedudukan pasaran buruh negara pada bulan tersebut, dan pada masa yang sama kerajaan turut melaksanakan pembaharuan untuk meningkatkan keterangkuman kerja, mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing, dan menggalakkan automasi dan mekanisasi,’ katanya.
Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja pada Februari 2025 menunjukkan peningkatan berterusan dengan pertambahan 0.3 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 16.73 juta orang, berbanding 16.68 juta orang pada Januari 2025.
Pada masa yang sama bilangan penganggur mengalami penurunan sebanyak 0.2 peratus, berkurang kepada 532,800 orang (Januari 2025: 833,800 orang). Kadar pengangguran kekal pada 3.1 peratus, tidak berubah daripada bulan sebelumnya.
Mohd Uzir berkata pada bulan Februari 2025, kategori pekerja yang merangkumi 75.2 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, naik sebanyak 0.2 peratus kepada 12.59 juta orang (January 2025: 12.56 juta orang).
Begitu juga bilengan penduduk yang bekerja sendiri meningkat 0.6 peratus, mencecah kepada 3.13 juta orang (January 2025: 3.11 juta orang).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial