AM > BERITA

JKKN Melaka Teruskan Program Bimbingan Hujung Minggu Mulai 12 April

11/04/2025 05:14 PM

MELAKA, 11 April (Bernama) -- Program Bimbingan Hujung Minggu (PBHM) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka akan diteruskan tahun ini bermula 12 April hingga November depan. 

Pengarah JKKN Melaka Ezlina Alias berkata program itu melibatkan seni tari, seni lakon teater dan seni silat yang merupakan platform terbaik kepada peserta untuk menyerlahkan bakat di samping peluang untuk mengenali warisan budaya negeri ini.

"Para peserta akan dibimbing oleh tiga tenaga pengajar iaitu artis budaya JKKN serta seorang Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) yang diiktiraf JKKN. 

"Latihan ini diberikan secara percuma di Kompleks JKKN Melaka namun peserta perlu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap kelas dan peraturan yang ditetapkan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ezlina berkata PBHM adalah inisiatif JKKN di seluruh negara seperti yang termaktub dalam teras pertama jabatan iaitu memperluaskan asuhan dan kemahiran seni budaya untuk pembangunan modal insan seawal usia kanak-kanak.

Beliau berkata program berkenaan juga terbuka kepada pelajar sekolah dan setiap sesi terhad kepada sebanyak 30 orang untuk seni tari, teater dan silat.

"Penganjuran PBHM memasuki tahun ketiga dan pada  tahun lepas sahaja bagi seni tari, terdapat hampir 100 orang dalam setiap kelas dan terpaksa diagihkan kepada beberapa sesi berikutan sambutan menggalakkan.

"Lebih membanggakan bekas peserta program ini juga berjaya menjuarai peringkat kebangsaan Pertandingan Boria Antarabangsa 2024 yang diadakan di Universiti Malaya (UM)," katanya.

Ezlina berkata peserta bimbingan program itu juga dipanggil mengadakan persembahan bagi program-program kebudayaan di negeri ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan