AM > BERITA

Sambutan Pelbagai Perayaan Di Malaysia Platform Erat Perpaduan - Aaron

13/04/2025 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyeru semua rakyat Malaysia menjadikan sambutan pelbagai perayaan di negara ini sebagai platform untuk saling mengenali, menghormati dan memahami antara satu sama lain dalam semangat “Harmoni Dalam Kepelbagaian”.

Beliau berkata demikian bersempena sambutan Songkran, perayaan Tahun Baharu masyarakat Siam, yang disambut hari ini. Menurutnya, budaya masyarakat Siam merupakan satu daripada khazanah budaya negara yang memperkayakan identiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara sentiasa mengiktiraf dan meraikan warisan budaya pelbagai kaum di Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Songkran Tahun Baharu Siam kepada seluruh masyarakat Siam di Malaysia, terutamanya kepada lebih 43,000 rakyat berketurunan Siam yang menjadi sebahagian daripada keluarga besar rakyat Malaysia.

“Songkran bukan sahaja menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar tradisional Thai, malah merupakan lambang penyucian diri dan kasih sayang kepada keluarga. Ia mencerminkan nilai-nilai sejagat yang juga menjadi asas penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang harmoni,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Songkran, yang terkenal sebagai festival air, adalah sambutan Tahun Baharu Thailand yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan