KUALA SELANGOR, 14 April (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad hari ini melancarkan Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor (KPJKS) - hospital ke-30 dalam rangkaian KPJ sekali gus mengukuhkan komitmen untuk memperluas akses penjagaan kesihatan pakar swasta kepada komuniti di lokasi yang sedang pesat membangun, khususnya di luar bandar utama.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Chin Keat Chyuan berkata hospital yang mula beroperasi pada 22 Mac lepas menawarkan perkhidmatan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk perubatan dalaman, pembedahan am, ortopedik, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, ENT (telinga, hidung dan tekak), oftalmologi, radiologi, anestesiologi, gastroenterologi dan hepatologi.
“Hospital ini beroperasi dengan 14 doktor pakar perunding residen dan lapan pakar perunding sessional, disokong oleh pasukan seramai 188 orang yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat, profesional kesihatan bersekutu serta kakitangan sokongan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran hospital berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi KPJ Healthcare Tan Sri Dr Ismail Bakar.
Chin berkata kemudahan ini yang mempunyai kapasiti 60 katil turut dilengkapi infrastruktur diagnostik dan rawatan terkini, termasuk MRI 1.5 Tesla, CT Scanner 160-slice, mamografi digital full-field serta Super Inductive System (SIS) untuk terapi pengurusan kesakitan tidak invasif menggunakan medan elektromagnet berintensiti tinggi.
Beliau berkata antara kemudahan utama lain termasuk empat katil ICU, dua bilik pembedahan yang lengkap, sebuah bilik skop serta katil khas untuk rawatan harian.
Sementara itu, Dzulkefly yang merasmikan majlis pelancaran itu menyambut baik pembukaan kemudahan penjagaan kesihatan berkenaan kerana ia boleh melengkapi Hospital Tanjong Karang yang terletak lapan kilometer dari KPJKS memandangkan kedua-dua hospital memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.
“Seperti yang ditahui, kita mempunyai Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) dan saya dapat lihat teknologi terkini serta canggih yang terdapat di sini.
“Dalam pandangan saya, kita dapat manfaatkan kemudahan ini melalui kerjasama atau sinergi yang membolehkan kita mengakses kemudahan ini bagi menyelesaikan isu masa menunggu yang lama di hospital kerajaan, khususnya di Hospital Tanjong Karang yang merupakan hospital pakar minor,” katanya.
Dzulkefly berkata KPJKS dijangka dapat memenuhi keperluan bukan sahaja penduduk di daerah Kuala Selangor, malah hingga ke daerah Muallim di Perak sekiranya diperlukan.
Direka dengan mengambil kira aspek penjagaan dan praktikal, KPJKS menawarkan persekitaran penyembuhan moden yang dilengkapi dengan rekaan dalaman yang teliti serta suasana semula jadi, memastikan pesakit dan pasukan perubatan berasa selesa selari dengan kecemerlangan klinikal.
KPJKS mencerminkan hala tuju baharu Kumpulan di bawah KPJ Health System, iaitu pendekatan bersepadu yang menggabungkan penjagaan klinikal, pendidikan perubatan dan kecemerlangan penyelidikan dalam rangkaian KPJ Healthcare di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial