KANGAR, 16 April (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang melakukan penipuan dalam penjualan mangga Harumanis, tindakan tegas akan diambil bermula awal Mei ini.
Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata ini kerana berdasarkan pemantauan, pihaknya mengesan terdapat unsur penipuan membabitkan penjualan mangga itu semasa menjual mangga dari negara jiran secara dalam talian dan di tepi jalan di Perlis.
“FAMA bukan saja memantau gerai jualan di sepanjang jalan utama Kuala Perlis hingga Changlun malah turut memeriksa label yang dipamerkan. Kita laksanakan 14 aktiviti advokasi dan keluarkan 61 kenyataan advokasi.
“Tindakan terhadap isu penipuan ini akan bermula awal Mei ini bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Anzara berkata pihaknya juga melaksanakan inisiaitif uji beli melalui platform dalam talian bagi mengesan aktiviti penipuan jualan Harumanis di negeri itu.
“Kita percaya ramai scammer ambil kesempatan musim ini sebab kita beli, dan dapati buah itu palsu, harga ditawarkan pun tak logik seperti tiga kilogram RM50. Sedangkan harga sebenar gred premium Harumanis boleh cecah RM120 sekilogram. Bukan saja pengguna rugi, malah imej Harumanis Perlis turut terjejas,” katanya.
Beliau berkata bagi menangani isu itu, FAMA memperluas kerjasama advokasi bersama media dan pengusaha sah serta agensi kerajaan lain untuk memastikan hanya Harumanis tulen dipasarkan.
“FAMA turut menyediakan tag dan banner GPL sebagai penanda sah, selain menggalakkan pengguna membeli melalui Agrobazaar Online di bawah FAMA dan pusat jualan yang diiktiraf. Kita mahu semua peniaga lebih bertanggungjawab, patuh undang-undang dan tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna,” katanya.
Mohd Anzara berkata turut menyeru orang ramai lebih berhati-hati dan menyemak label, harga dan maklumat pengesahan setiap kali membeli Harumanis sama ada secara fizikal mahupun atas talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial