KUCHING, 16 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak sedang mengambil langkah untuk menyatukan dan menilai semula asetnya bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan hasil berikutan ketidaktentuan ekonomi global semasa, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata langkah itu adalah sebagai tindak balas kepada peralihan dinamik perdagangan global termasuk pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat baru-baru ini secara tidak langsung memberi kesan kepada Sarawak walaupun negeri itu tidak banyak bergantung kepada pasaran Amerika untuk eksportnya.
“Walaupun eksport utama kami seperti gas dan tenaga terutamanya ke Korea Selatan dan Jepun serta minyak sawit ke China, India dan Eropah, perkembangan global masih memberi kesan kepada Sarawak.
“Sebagai contoh, harga minyak mentah telah turun kepada US$65.14 setong, manakala belanjawan Sarawak berdasarkan kepada unjuran US$85 hingga US$90 setong,” katanya.
"Ini bermakna hasil Sarawak akan dikurangkan sekurang-kurangnya US$20 setong. Ini mewujudkan ketidaktentuan kerana kami melihat ke hadapan untuk baki tahun ini dan ke 2026," katanya pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak di sini malam ini.
Abang Johari berkata negeri itu perlu menyesuaikan dasar ekonominya untuk mengekalkan kestabilan fiskal dan memenuhi komitmen kewangannya.
"Justeru, kami sedang dalam proses menyatukan aset Sarawak untuk menentukan nilai sebenarnya. Bagi aset strategik, kami sedang mencari cara untuk berinovasi dan meningkatkan nilainya sebagai respons kepada perkembangan ekonomi global dan serantau khususnya dalam ASEAN," katanya.
Beliau berkata Sarawak tidak boleh terus bergantung semata-mata kepada hasil minyak dan gas dan harus mempelbagaikan asas ekonominya melalui inovasi dan penggunaan teknologi.
“Kami sedang mengenal pasti kekuatan dalam asas aset kami dan meneroka cara terbaik untuk mengurusnya bagi menyampaikan hasil ekonomi yang positif untuk Sarawak.
“Ini penting jika kami mahu mengemudi perubahan dalam ekonomi global dan memperoleh pertumbuhan mampan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial