AM > BERITA

PM Anwar Ucap Tahniah Kepada Semua Pelajar Cemerlang SPM 2024

24/04/2025 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berharap mereka dapat meneruskan usaha dan tekad untuk menuntut ilmu sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Bagi pelajar yang kurang bernasib baik, Perdana Menteri menasihati agar mereka tidak berputus asa, sebaliknya terus berusaha dan mengambil peluang terhadap pelbagai laluan pendidikan lain yang disediakan.

"Kerajaan MADANI sentiasa bekerja kuat membantu anak-anak Malaysia melalui sistem pendidikan tinggi yang berkualiti selain inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang membuka laluan alternatif ke arah masa depan yang lebih cerah," kata Anwar.

Keputusan peperiksaan SPM 2024 mencatatkan pencapaian terbaik sejak 2013 dengan indeks Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023.

Analisis keputusan SPM 2024 menunjukkan bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran, meningkat kepada 14,179 orang atau 3.7 peratus berbanding 11,713 calon pada 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan