AM > BERITA

Semua Pihak Diseru Junjung Prinsip Keadilan, Keutuhan Pentadbiran - Raja Perlis

25/04/2025 12:02 AM

PADANG BESAR, 24 April (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru semua pihak agar terus menjunjung prinsip keadilan, keutuhan pentadbiran dan kelestarian alam sekitar  dalam setiap dasar dan tindakan. 

Baginda bertitah rakyat di negeri itu perlu terus memperkukuh nilai-nilai murni, memperkasakan institusi kekeluargaan, mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan memelihara keharmonian yang telah dibina bersama. 

"Negeri kecil ini mempunyai potensi besar jika terus diterajui dengan keikhlasan dan wawasan yang tinggi...biarlah Perlis terus dikenali bukan sahaja sebagai negeri yang aman, tetapi juga sebagai negeri yang bijak mengimbangi kemajuan dengan warisan, moden dengan nilai dan pembangunan dengan kesejahteraan," titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian ketika berkenan merasmikan mercu tanda sempena sambutan jubli perak pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis di sini malam ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sambutan sempena 25 tahun pemerintahan Raja Perlis itu berlangsung dari 17 April 2025 hingga 16 April 2026 dan dimulakan dengan acara utama iaitu Majlis Santapan Diraja di Istana Arau, Khamis lepas.

Majlis hari ini merupakan antara program pengisian bagi sambutan berkenaan.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah 25 tahun pemerintahan baginda itu memperlihatkan pelbagai cabaran dan kejayaan.

Baginda menzahirkan rasa kesyukuran kerana sepanjang tempoh itu Perlis berkembang secara beransur-ansur dalam pelbagai aspek dari segi pembangunan ekonomi, infrastruktur, pendidikan serta aspek perpaduan masyarakat yang utuh. 

"Segala pencapaian ini bukanlah hasil usaha individu, tetapi berkat kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak," titah Raja Perlis.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah mercu tanda yang berdiri megah di bulatan Padang Besar itu bukan sekadar struktur fizikal semata-mata malah ia ialah simbol keutuhan, kesepaduan dan cinta rakyat terhadap negeri itu.

"Semoga ia menjadi tempat yang menyatukan kenangan, membina harapan dan membakar semangat generasi akan datang untuk terus menyumbang kepada negeri ini dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab," titah baginda.

Baginda turut menzahirkan rasa kasih dan penghargaan kepada semua rakyat Perlis yang sentiasa menjunjung tinggi institusi Raja di negeri itu dan baginda amat terharu dengan semangat kesetiaan, keikhlasan dan rasa hormat yang ditunjukkan rakyat.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan