KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Penyokong bola sepak yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/2025 antara Johor Darul Ta'zim FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam esok dinasihatkan tidak membawa masuk barangan terlarang.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata ia termasuk mercun, topi keledar, laser, sebarang objek tajam, payung, tongkat dan botol air.
Beliau berkata polis akan melakukan pemeriksaan badan dan beg penonton, sebelum dan selepas pintu masuk stadium.
“Bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perlawanan, polis menasihati orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam dan elakkan melalui jalan-jalan di sekitar stadium jika tidak bertujuan menonton perlawanan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata orang ramai juga diingatkan supaya mematuhi segala arahan diberikan pegawai polis bertugas.
"Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan atau individu yang cuba mencetuskan kekacauan serta provokasi melampau semasa perlawanan mahupun selepas tamat perlawanan.
“Mereka yang didapati melakukan perbuatan berkenaan boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) atau Seksyen 160 Kanun Keseksaan (Gaduh Gempar)," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial