KOTA BHARU, 25 April (Bernama) -- Isu berkaitan pendidikan kesihatan reproduktif dan literasi seksual dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai kementerian dan agensi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata usaha itu bukan hanya di bawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM), sebaliknya memerlukan penggemblengan tenaga menerusi pendekatan “whole-of-government” atau keseluruhan kerajaan.
“Bukan sahaja tanggungjawab KKM, tetapi juga Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Belia dan Sukan.
“KKM sendiri akan mengambil pendekatan whole-of-government bagi memastikan pendidikan dari sudut kesihatan reproduktif dan aspek penerangan menyeluruh dilaksanakan secara bersepadu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mini Karnival Jom Sihat @ Kota Lama di PPR Kota Bharu di sini hari ini.
Beliau berkata sokongan padu daripada pelbagai pihak amat penting bagi memastikan pelaksanaan agenda berkenaan bukan sahaja tertumpu di Kelantan, malah diperluas ke seluruh negara.
"Saya tidak menyatakan bahawa KKM akan menjadi agensi peneraju tunggal. Sebaliknya, kami mahu isu ini ditangani secara bersama dan kolektif. KKM bersedia menggembleng tenaga serta pakar-pakar dalam bidang pendidikan kesihatan reproduktif,” katanya.
Dzulkefly berkata kunci utama kejayaan pelaksanaan inisiatif itu ialah memberi kecerdasan literasi kepada masyarakat agar mereka dapat meningkatkan nilai kawalan diri serta memperkukuh peranan moral dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata KKM membantu mangsa jenayah seksual di bawah umur melalui Pusat Khidmat Krisis Bersepadu (OSCC) yang disediakan di setiap hospital seluruh negara.
OSCC ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan menyeluruh kepada mangsa seperti penderaan dan pemerkosaan.
"Kes sedemikian akan dirujuk di bawah OSCC dan akan memudahkan agensi lain untuk turut sama memainkan peranan seperti KPWKM dan Polis Diraja Malaysia.
"KKM bukanlah sebagai agensi utama dalam menangani isu sebegini tetapi pihak kami akan terus memberi kerjasama dengan pihak lain agar insiden sedemikian tidak berlaku di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media pada 9 April lepas berhubung pendedahan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengenai jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan yang menunjukkan trend peningkatan ketara setiap tahun.
Mohd Yusoff dilaporkan berkata 252 kes direkodkan pada 2024 berbanding 206 kes pada 2023 iaitu peningkatan sebanyak 22.3 peratus, dan apa yang membimbangkan ialah ada dalam kalangan pelaku terlibat terdiri daripada remaja berumur seawal 10 tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial