KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun ke-91 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada seluruh warganya.
Menerusi catatan di Facebook, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan itu atas khidmat bakti dan pengorbanan dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara.
“Komitmen dan semangat juang warga TLDM amat membanggakan dan wajar dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Saya mendoakan agar TLDM terus menjadi angkatan laut yang disegani di peringkat serantau dan antarabangsa. Teruskan kecemerlangan demi Malaysia yang sejahtera dan berdaulat. Insya-Allah,” katanya.
Turut mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun ke-91 TLDM Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata negara menzahirkan setinggi penghargaan kepada para anggota TLDM yang cekal berjuang untuk menjaga dan melindungi kedaulatan perairan negara.
“Semangat mereka yang tidak pernah kenal erti lelah, keberanian mereka mengharungi badai, membelah samudera, serta kesetiaan mereka pada tanah air adalah inspirasi untuk kita semua.
“Terima kasih atas segala pengorbanan dan dedikasi. Jasa kalian sama sekali tidak terbanding dan tidak akan dapat dibalas. Semoga TLDM terus maju, perkasa dan diberkati dalam setiap misi, demi kedaulatan negara,” katanya dalam catatan di Facebook.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial