AM > BERITA

Rumah Tebakar: Kelantan Salur Bantuan Awal RM1,000 Kepada KIR

29/04/2025 07:42 PM

KOTA BHARU, 29 April (Bernama) -- Kerajaan Kelantan hari ini menyalurkan sumbangan bantuan awal bencana menerusi Tabung Serambi Mekah berjumlah RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Kijang, di sini semalam.

Ketua Jajahan Kota Bharu Rusydee Abdullah berkata pihaknya juga akan meneliti keperluan lain dari semasa ke semasa termasuk penempatan sementara untuk mangsa kebakaran. 

"Untuk hari ini, kita telah menyampaikan RM1,000 kepada setiap keluarga sebagai bantuan awal dan selepas ini akan ada bantuan susulan. Mengikut kebiasaan kita akan menyalurkan RM2,000 bagi setiap keluarga yang terkesan dengan bencana.

"Kita juga akan bincang dengan penghulu mukim di kampung ini memandangkan kediaman kesemua mangsa ialah rumah sendiri di atas tanah yang disewa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Kijang di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud hadir di lokasi kebakaran untuk menyampaikan sumbangan wang tunai berkenaan kepada lapan keluarga yang terkesan dalam insiden kebakaran itu. 

Mangsa, Yah Che Ngoh, 59, yang juga ibu tunggal menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan yang dihulurkan oleh kerajaan negeri sekali gus dapat meringankan beban mangsa kebakaran yang terlibat.

"Setakat ini, saya terpaksa menumpang teduh di rumah kenalan sebab belum sempat mencari penempatan baharu kerana masih terkejut dengan insiden yang berlaku.

"Saya harap ada mana-mana pihak boleh tampil menawarkan penempatan baharu atau sementara untuk mangsa kebakaran," katanya.

Sebanyak 31 mangsa daripada lapan keluarga hilang tempat tinggal selepas lapan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kijang petang semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan