AM > BERITA

46 Individu Terima Darjah Kebesaran, Pingat Pahang

06/05/2025 03:13 PM

TEMERLOH, 6 Mei (Bernama) -- Sebanyak 46 individu menerima darjah kebesaran dan pingat Pahang hari ini sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan istiadat yang berlangsung di Dewan Tun Razak, di sini.

Turut berangkat Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Mendahului senarai ialah Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Muhammed Hasbullah Ali, yang menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera pula dikurniakan kepada Pengarah Pembinaan Sujaman Sdn Bhd Datuk Lee Wah Lian, manakala Pengarah Maritime Survey And Service Sdn Bhd Suhaila Semaru menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk.

Seramai 23 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Datuk, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri Chini Mohd Sharim Md Zain dan Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan Dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib.

Turut menerima DIMP, Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu Tengku Mohd Arifin Tengku A Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Corporate Management Services (PCMS) Sdn Bhd Abd Rahim Ahmad, Panglima Wilayah Udara 2 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mej Jen Ahmad Khusairi Ahmad Fadli dan Pengarah Eksekutif Berjaya Group Berhad Mohd Ghazali Abbas.

Pada istiadat itu darjah kebesaran Setia Mahkota Pahang (SMP) dikurniakan kepada empat penerima, darjah kebesaran Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada dua penerima, darjah kebesaran Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada tujuh penerima, Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) kepada empat penerima dan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) kepada tiga penerima.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan