PETALING JAYA, 8 Mei (Bernama) -- Agensi kerajaan dan swasta disaran meneliti potensi penawaran perkhidmatan tambahan menerusi kios termasuk Kiosk Sentuhan MADANI.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kios yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lepas itu terbukti berkesan serta diterima baik orang ramai apabila mencatatkan peningkatan penggunaan.
Beliau berkata penggunaan kios berkenaan di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya meningkat daripada 4,600 pada awal pelancaran kepada 6,600 pada Mac manakala di KL Sentral penggunaannya mencecah 5,000 transaksi pada bulan pertama.
“Perkara ini wajar diambil perhatian memandangkan kios-kios yang terlibat dalam inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI seperti kios Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pos Malaysia dan TM Unifi memiliki keupayaan untuk mengintegrasikan perkhidmatan agensi pihak ketiga ke dalam sistem operasi mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Kiosk Sentuhan Madani Ketiga di pusat beli-belah 1 Utama di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, Shamsul Azri berkata Kiosk Sentuhan MADANI akan diperluas dengan pembukaan tapak keempat di Plaza Angsana, Johor Bahru pada Ogos ini.
Beliau berkata sasaran utama adalah untuk memperluas inisiatif berkenaan ke bandar-bandar besar yang mempunyai populasi ramai bagi mengurangkan kesesakan di kaunter kerajaan.
"Menjelang tahun 2027, kerajaan menyasarkan agar setiap bandar utama di seluruh negara akan dilengkapi dengan sekurang-kurangnya satu Kiosk Sentuhan MADANI,” katanya ketika ditemui selepas majlis.
Beliau berkata pelaksanaan fasa pertama Kiosk Sentuhan MADANI di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor dapat dicapai lebih awal daripada sasaran susulan kerjasama pelbagai pihak.
“Jadi saya menyeru agar pihak korporat tampil ke hadapan untuk terus berganding bahu dengan Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri dalam usaha mengembangkan rangkaian Kiosk Sentuhan MADANI ke seluruh Malaysia,” katanya.
Kiosk Sentuhan MADANI merupakan inisiatif di bawah Belanjawan 2025 yang diilhamkan Perdana Menteri bertujuan menambah baik perkhidmatan awam dan menyantuni keperluan semasa rakyat.
Kios digital agensi itu ditempatkan di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah dengan jangka masa operasi lebih panjang termasuk di luar waktu pejabat, hujung minggu dan cuti umum.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial