KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Hukum meraikan undangan atau jemputan ke majlis sempena perayaan bukan Islam tanpa upacara ritual keagamaan adalah harus dan dibenarkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Datuk Dr Nooh Gadot.
Beliau berkata ia termasuk majlis rumah terbuka atau majlis makan malam bersempena hari perayaan bukan Islam dan seumpamanya, dengan syarat jamuan yang disediakan adalah halal dan tiada hiburan atau aktiviti yang dilarang oleh syarak.
“Bagaimanapun, ulama empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali bersepakat bahawa hukum umat Islam menghadiri upacara ritual perayaan keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang sama sekali.
“Larangan ini termasuklah upacara ritual keagamaan bukan Islam di rumah ibadat mahupun di tempat lain yang biasa dilaksanakan upacara ritual itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata menghormati penganut agama lain tidak bererti menyokong atau menyertai ibadah mereka, tetapi penyertaan dalam sebarang bentuk perayaan atau ritual keagamaan lain secara langsung atau tidak langsung adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh menjejaskan akidah.
“Penyertaan umat Islam dalam amalan keagamaan bukan Islam membawa kesan buruk seperti menjejaskan kepercayaan tauhid, melanggar batas hukum dan rujukan fatwa sah, mewujudkan pemikiran liberal tanpa panduan syariat serta menjejaskan identiti Islam dalam masyarakat selain menimbulkan kekeliruan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Nooh berkata pemakluman berkaitan ‘Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam’ yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2005, dan panduan hukum serta fatwa negeri dalam hal ini boleh dirujuk masyarakat Islam di Malaysia.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa menjaga akidah adalah tanggungjawab setiap Muslim dan umat Islam hendaklah menjauhi sebarang bentuk penyertaan dalam ritual keagamaan agama lain, walaupun atas alasan budaya atau simbolik.
“Institusi pendidikan, masjid dan media perlu memperkukuhkan pendidikan akidah yang betul berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan badan berautoriti perlu bertindak bijaksana membimbing umat agar tidak terjebak dalam kekeliruan nilai antara agama dan budaya.
“Masyarakat awam juga dinasihatkan agar sentiasa memelihara akidah dan sensitiviti agama dengan tidak melibatkan diri dalam sebarang upacara, perarakan atau ritual keagamaan bukan Islam. Penyertaan sedemikian dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan, mencetuskan polemik serta menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang agama di negara ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial