AM > BERITA

Yayasan Peneraju Lancar YPXLR8, Sasar 1,000 Bumiputera Sertai Kerjaya Teknologi

16/05/2025 08:42 AM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Yayasan Peneraju (YP) hari ini melancarkan inisiatif strategik terbaharunya, YPXLR8 (YP Accelerate) yang menyasarkan penyertaan 1,000 individu bumiputera ke dalam sektor kerjaya berteraskan teknologi.

Menurut YP dalam kenyataan, program itu memberi peluang kepada mereka yang bekerja dalam bidang bukan teknologi untuk beralih kerjaya menerusi pendekatan place-and-train bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang digital di negara ini.

“Setiap peserta terpilih akan menerima sokongan kewangan sebanyak RM1,500 sebulan selama lapan bulan sepanjang program berlangsung. Selain itu, mereka juga akan mendapat kredit latihan sekali beri sebanyak RM9,000 untuk memastikan mereka menerima latihan berkaitan teknologi,” menurut kenyataan itu.

Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dalam kenyataan sama berkata YPXLR8 merupakan langkah proaktif untuk memperkasakan bakat bumiputera dan menyokong dasar negara seperti Pelan Ekonomi Digital Malaysia serta dasar Revolusi Industri Keempat (4IR).

Beliau berkata YPXLR8 dilancarkan pada waktu yang tepat memandangkan transformasi digital kini menjadi pemacu utama perubahan pasaran pekerjaan global.

“Jika kita mahu Malaysia terus maju dalam mengguna pakai inovasi AI (kecerdasan buatan), tenaga kerja bumiputera perlu dilengkapkan dengan kemahiran teknologi terkini bagi memastikan mereka memenuhi keperluan pasaran dan kekal berdaya saing,” kata Rafizi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YP Ibrahim Sani berkata program berkenaan membuka ruang kepada golongan bumiputera yang tidak mempunyai latar belakang teknologi untuk menyertai ekonomi digital melalui latihan industri dan peluang pekerjaan.

“Para peserta akan menjalani latihan yang relevan dengan industri melalui peluang pekerjaan sekurang-kurangnya lapan bulan bersama syarikat hos atau jawatan tetap dan mereka akan dapat mengasah kemahiran penting melalui bimbingan dan pengalaman sebenar,” katanya dalam kenyataan itu.

YP kini sedang mengenal pasti rakan industri daripada pelbagai sektor sebagai syarikat hos untuk memberikan peluang pekerjaan dan latihan kepada peserta dalam bidang seperti analitik digital, keselamatan siber, perisikan perniagaan dan bidang berkaitan.

YPXLR8 menawarkan pelbagai insentif menarik kepada syarikat hos yang mengambil bahagian termasuk akses kepada bakat yang bermotivasi tinggi serta peluang untuk menyumbang ke arah pembangunan masa depan digital Malaysia.

Pihak industri yang berminat menjadi syarikat hos untuk YPXLR8 boleh mendaftar melalui https://yayasanpeneraju.com.my/.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan