KANGAR, 16 Mei (Bernama) -- Sebuah buku bertajuk Sirajus Siyadah: 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diterbitkan bagi memperingati pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor berkata buku itu menghimpunkan 25 titah ucapan Tuanku Syed Sirajuddin yang paling signifikan sepanjang tempoh pemerintahan baginda sejak menaiki takhta pada 2000.
“Setiap titah baginda yang dipilih mewakili detik penting dan dasar pentadbiran baginda termasuk sewaktu krisis seperti pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas Wacana Wangsa Jamalullail: ‘Zynatul Muluk’ Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis ke-82 dan pelancaran buku itu di sini hari ini.
Pelancaran itu disempurnakan Tuanku Syed Sirajuddin. Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.
Mohd Nazim berkata buku berkenaan bukan sekadar dokumentasi, tetapi menjadi pelita kedaulatan yang memaparkan buah fikiran Raja Perlis dalam pelbagai aspek pemerintahan serta hubungan erat baginda dengan rakyat.
Beliau berkata penerbitan buku itu turut disertai Raja Muda Perlis serta pegawai kanan MAIPs yang menjadi sebahagian usaha memperkenalkan semula istilah tradisi seperti ‘Zynatul Muluk’ yang sinonim dengan sambutan Jubli Perak Raja Perlis terdahulu.
“Istilah ‘Zynatul Muluk’ pernah digunakan semasa Jubli Perak Raja Syed Alwi pada tahun 1929 dan kami mengangkat semula nama ini bagi menggambarkan kesinambungan warisan pemerintahan berdaulat negeri Perlis,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata wacana itu antara lain mengetengahkan sorotan sejarah sumbangan Tuanku Syed Sirajuddin dalam memperkasa masyarakat Melayu melalui pelbagai dasar dan inisiatif termasuk pelancaran Perlembagaan Persekutuan dalam versi Bahasa Melayu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial